Thursday, September 22, 2016

YANG BERJUANG MENYELAMATKAN ‘ORANG SUSAH’ ADALAH ‘ORANG SENANG’…

            Dulu aku beli sayur pucuk ubi atau pucuk betik atau pucuk paku atau apa saja bentuk sayur di pasar tidak diiringi dengan keluhan. Maknanya ditinjau dari segi harga tidaklah begitu  menyusahkan. Lagi pun sayuran pucuk ubi, pucuk betik, pucuk paku adalah makan orang kampung. Makanan orang miskin seperti aku. Jadi tidak hairanlah kalau harga jenis sayuran (yang dimakan oleh orang kaya-kaya) melambung hargannya, kerana yang membeli sayuran berkenaan terdiri dari orang banyak duit seperti pemimpin UMNO (semua peringkat) yang sentiasa berduit.

            Apabila harga sayuran yang kebiasaannya dimakan oleh orang miskin seperti aku melambung harganya, maka sayur jenis apa lagi yang hendak ‘dikunyah’ oleh orang miskin. Jikalau pendapatan hanya mampu untuk membeli sayuran sedemikian, maka sayuran jenis apa lagi yang hendak dibeli.

            Keadaan dalam negara kini sebenarnya dalam keadaan yang amat susah terutama apabila kenaikan harga barang naik mendadak. Semacam tidak ada siapa yang peduli dengan ‘jeritan’ golongan miskin di kampung atau di bandar. Dan sudah mula kedengaran syarikat-syarikat membuang pekerja. Yang jelasnya dulu MAS telah membung pekerjanya dan menderitalah pekerja yang dibuang. Kini kononnya PETRONAS pula yang akan membuang pekerjanya disebabkan keuntungan PETRONAS yang merosot. Dan lepas ini kononnya banyak lagi syarikat yang akan melakukan pembuangan pekerja dan salah satu sebabbnya disebabkan oleh pengenalan GST.

            Para pemimpin negara seolah-olah tidak terkesan dengan penderitaan yang dialami oleh rakyat kini. Bagaimanalah mereka nak merasakan keperitan hidup rakyat jikalau mereka sentiasa dibekalkan dengan ‘dedak’ hasil titik peluh rakyat. Para pemimpin negara bersenang lenang juga dengan berbagai kemewahan yang diperolehi oleh mereka.Mereka ‘melancong’ juga keluar negara menggunakan alasan ‘urusan rasmi’ kerajaan.

            Keadaan negara kini amat meruncing. Tetapi yang peliknya golongan yang sedar akan penderitaan rakyat dan yang sentiasa berjuang untuk kesejahteraan negara adalah golongan yang dikira senang kehidupan mereka, sedangkan golongan rakyat yang dikira derita dan yang diperjuangkan oleh golongan yang senang merasakan bahawa mereka tidak perlu diperjuangkan kerana mereka merasa ‘gembira’ ditipu dan diperbodohkan. Mereka seolah-olah merasa ‘berpuas hati’ dengan tindakan para pemimpin negara yang sentiasa memberikan ‘gula-gula’ kepada mereka. Lantas golongan yang menderita ini pula yang mengutuk perjuangan golongan yang memperjuangkan kesejahteraan negara – yang mahu menyelamatkan negara.

            Sepatutnya tokoh-tokoh seperti Tun Mahathir, Saudara Lim Kit Siang dan beberapa tokoh lain yang sentiasa memperjuangkan rakayat sepatutnya disanjung tentang apa yang mereka lakukan disebabkan kerelaan mereka ‘mengabdikan’ diri untuk rakyat. Apa perlu lagi Tun Mahathir bersusah payah memperjuangkan rakyat. Apa perlunya Saudara Lim Kit Siang berhempas pulas berjuang menyelamatkan negara. Dengan kesenangan yang dimiliki sepatutnya mereka boleh hidup bersenang lenang seperti yang dinikmati oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi misalnya. Tetapi mereka tidak mahu bersikap demikian. Mereka masih mahu terus berjuang membela rakyat.

            Tun Mahathir hampir setiap malam dikutuk oleh media arus perdana. Dan yang menghairankan juga bahawa ada juga yang termakan dengan dakyah sedemikian. Yang mengiakan kenyataan media berkenaan adalah kebanyakannya orang yang susah kehidupannya kehidupan mereka.

            Sampai bilalah agaknya orang Melayu sedar tentang keadaan yang menimpa mereka.

abuhassanadam

22 September 2016

Tuesday, September 20, 2016

SAMPAI BILA ORANG MELAYU DIPERALATKAN

            Pada zaman pemerintahan kerajaan Melayu lama, orang Melayu sentiasa diperalatkan untuk memenuhi kepentingan anak raja sebagaimana yang dapat dilihat dalam filem-filem Melayu lama. Pada zaman penjajahan British pula orang Melayu diperalatkan oleh British untuk kepentingan penjajah British. Sampailah kepada zaman penjajahan Jepun, orang Melayu dipergunakan oleh Jepun pula untuk menindas anak bangsa sendiri.

            Kita mengharapkan apabila selepas kekalahan Jepun, dan setelah orang Melayu mengalami banyak pengalaman di bawah pemerintahan Inggeris dan Jepun tidaklah orang Melayu boleh diperalatkan lagi. Rupanya sangkaan itu meleset. Orang Melayu terus diperlat dan dipergunakan.

            Ramai yang mengharapkan setelah mencapai kemerdekaan, maka dapatlah hendaknya orang Melayu menggunakan akal fikirannya supaya tidak diperalat dan dipergunakan dengan sewenang-wenangnya. Rupanya meleset juga sangkaan itu. orang Melayu amat senang diguna dan diperalatakan. Nampak semacam murah benar nilai orang Melayu, sehinggakan boleh ‘dibeli’ denga bayaran yang begitu murah.

            Ramai yang menanti dan mengharapkan agar orang Melayu, samada yang tinggal di bandar atau di luar bandar akan berubah cara berfikir dan dapat memikirkan sesuatu ke arah yang positif setelah mereka mendapat pendidikan. Harapan sedemikian meleset juga. Kelihatan ramai pemuda Melayu masih tidak dapat memikir dan membezakan yang mana baik dan yang mana buruk.

            Seolah-olah ramai anak muda kita kini ( yang berpelajaran dan yang tidak berpelajaran) semacam begitu mudah terpengaruh dengan kata-kata manis atau propaganda dan lebih parah lagi ramai orang Melayu yang terus tidak mahu befikir sekiranya ‘dedak’ diletakkan di hadapan mata.

            Dengan ‘dedak’ seolah-olah segelintir orang Melayu lupa akan tanggungjawab mereka mempertahankan negara. Mereka akan terpengaruh dan akan senang disuruh-sarah untuk melakukan sesuatu walaupun dengan tindakan mereka itu merosakkan bangsa dan negara. Seolah-olah bagi mereka, ‘dedak’ adalah paling utama. Mereka lupa bahawa sebenarnya dalam keadaan-keadaan tertentu merek atelah diperalatakn demi untuk menjaga kepentingan sesuatu golongan. Dan mereka amat jahil tentang hakikat sedemikian.

            Seolah-olah sebelingan kecil orang Melayu sedemikian lupa yang sebenarnya mereka telah diperalat dan diperbodohkan. Bilakah agaknya kesedaran menjelma di hati golongan yang sebegini.

            Kita hanya mampu berdoa…

abuhassanadam

20 September 2016

Sunday, September 18, 2016

PAS TEMPANG TANPA DATO’ HARUN DIN

            Tidak dapat dielakkan bahawa PAS akan ‘tempang’ tanpa Dato Harun Din. Mahu tak mahu kepimpinan PAS terpaksa mengakui keadaan ini. Ini bukan soal ‘patah tumbuh hilang berganti’. Tidak ada siapa dalam barisan kepimpinan PAS kini yang dapat menggantikan peranan yang dimainkan oleh Dato Harun Din. Ini merupakan cakap-cakap yang berlegar dikalangan ahli PAS kini.

            Pemergian TG Nik Aziz dirasakan kehilangannya oleh ahli PAS tetapi ada ‘lapik-liang’nya ia itu Dato Harun Din. Antara kedua-dua tokoh yang telah meninggalkan kita ini, tidak banyak perbezaan antara satu dengan yang lain, malah boleh bertukar ganti antara satu dengan yang lain. Tetapi pemergian Dato Harun Din tidak ada penggantinya. Dato Ahmad Yaakub yang kini memangku tugas berkenaan ibarat ‘jauh panggang dari api’.

            Ramai yang mengatakan tidak ada tokoh yang boleh menggantikan Dato Harun Din yang disegani oleh pihak kawan dan lawan. Dan kesan daripada pemergian tokoh yang disayangi ini ialah akan kelihatan penghijrahan beramai-ramai ahli PAS keluar daripada parti berkenaan. Apatah lagi apabila Amanah sudah sedia menunggu kedatangan golongan ‘imigran’ yang semacam menunggu masa dan ketika untuk ‘berhijrah’.

            Tidak ada kuasa yang dapat menahan fenomena berkenaan kecuali menyediakan seberapa banyak ‘dedak’ sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO untuk menyekat ahlinya meninggalkan parti berkenaan secara beramai-ramai. Dapatkah kepimpinan PAS melakukan apa yang dilakukan oleh UMNO. Ini persoalan yang perlu difikirkan oleh kepimpinan PAS.

            Persoalan yang dihadapi oleh PAS kini adalah juga merupakan persoalan ‘pull’ and ‘push factor’. Pemergian Dato Harun Din adalah antara ‘push factor’ yang menolak ahli PAS meninggalkan parti berkenaan, yang mana ramai yang merasakan bahawa kepimpinan PAS kini tidak diyakini oleh kebanyakan ahli untuk membawa perjuangan PAS menempuh Kurun ke 21.

            Ramai yang merasakan bahawa kepimpinan PAS kini adalah merupakan kepimpinan ‘cara lama’, cara lapuk. Ini disuarakan oleh golongan muda yang mahukan satu perubahan drastik, satu perubahan kepimpinan mengikut arus zaman. PAS sepatutnya mengorak langkah dan kreatif dalam melayarkan ‘bahtera’ PAS mengikut acuan Kurun ke 21. Apa yang telah dilakukan oleh TG Nik Aziz dulu, ia itu dengan mengembelingkan tenaga professional dan ulamak adalah merupakan acuan yang amat sesuai. Tetapi dengan kegolojohan setengah kepimpinan yang tidak dapat memikirkan tentang rentak dan gaya kepimpinan Kurun ke 21 telah menyebabkan PAS ketinggalan zaman.

            Untuk menambah kekacauan dalam kepimpinan PAS, kelihatan pula ‘kekacauan’ dalam tindak tanduk pemimpin PAS yang sudah tidak ketahuan hala tuju parti berkenaan. Rakyat sedang ‘membaca’ langkah kepimpinan PAS dan sedang memerhati juga ‘sepak-terajang’ kepimpinan PAS.

            Kepimpinan PAS kini semacam dalam keadaan ‘dilemma’ dan ‘kacau-kena’ (loghat Perak)… Agaknya ler…

abuhassanadam

18 September 2016
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA…BETUL KER??

            Ini soalan biasa. Selalu disebut-sebut. Dah ‘mangli’ kata orang Utara. Setiap surat rasmi kerajaan mesti ada tertulis ‘Berkhidmat Untuk Negara’.

            Dengan berbagai perkembangan dalam negara kini, mulalah rakyat mempersoalkan benar tidaknya kenyataan demikian. Mengikut berita samada dari dalam atau luar negara kepimpinan negara telah ‘merompak’ berbillion ringgit wang rakyat. Seluruh dunia sudah heboh tetapi Peguam Negara Malaysia kata takada apa-apa yang berlaku. Tentulah rakyat ‘pening’ kepala memikirkannya.

            Baru-baru ini heboh pula kisah SPRM ‘mengamuk’ (kononnya!) mendakwa beberapa pegawai tinggi kerajaan (yang mendapat gelaran dari Sultan) melakukan kegiatan rasuah melibatkan wang rakyat berjumlah jutaan ringgit. Ada beberapa orang tokoh yang terlibat. Yang kita tahu hanya beberapa orang tokoh yang terlibat. Bagaimana pula dengan ‘tokoh-tokoh’ yang tidak dapat dikesan?

            Mungkin ratusan ribu jumlahnya pegawai kerajaan yang terlibat dengan perbuatan terkutuk begini. Bila disebut pegawai kerajaan termasuklah Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Menteri Besar dan sampailah ke budak-budak pejabat yang mendokong tugas kononnya ‘berkhidmat untuk negara’. Mungkinlah slogan itu hanya merupakan perhiasan surat-surat rasmi yang dihantar kepada para pelanggan.

            Ada kawan-kawan yang mengatakan bahawa rasuah sudah merupakan budaya dan cara hidup di Malaysia. Dan ‘dedak’ sudah merupakan perkataan yang lumrah dipakai dikalangan pegawai kerajaan. Kononnya jikalau tidak diberikan ‘dedak’ maka akan lambatlah segala urusan yang dilakukan oleh pegawai kerajaan atau pihak Menteri. Perkataan ‘dedak’ telah menggantikan perkataan ‘minyak pelincir’.

            Kononnya dikalangan negara-negara ASEAN kini, Malaysia sudah menduduki tempat teratas dari segi kegiatan rasuah mengalahkan Indonesia, Thailand, Filipina. Jikalau dulu negara-negara berkenaanlah yang ‘berlumba-lumba’ antara satu dengan yang lain, maka kini kononnya mereka sudah ‘mengaku kalah’ dengan Malaysia, terutama setelah berita mengenai IMDB tersebar ke selruruh dunia. Itu persepsi setengah orang. Mungkin betul atau tidak. Belum lah ada kajian yang terperinci dilakukan bagi menentukan kesahihannya. Memandangkan kepada kegiatan yang begitu rancak kini yang dilakukan ada kemungkinan juga tohmahan itu betul. Entahlah.

            Yang menghairankan aku pula kegiatan rasuah dilakukan oleh pegawai kerajaan yang beragama Islam. Yang kena tangkap oleh SPRM hampir semuanya beragama Islam. Dan aku yakin golongan yang ramai yang melakukan rasuah dari kalangan pegawai kerajaan tentunya orang Melayu yang beragama Islam.

            Yang terus menghairankan aku lagi ialah segala ajaran agama sudah tidak berkesan lagi untuk membendung kegiatan rasuah. Nampaknya para ulamak dan guru agama tidak berjaya dan ajaran mereka tidak dapat mengubah sikap para pegawai kerajaan kita. Mungkin agaknya para ulamak yang mengajar di pejabat-pejabat kerajaan tidak langsung menyentuh tentang isu yang membabitkan rasuah. Kebanyakan ulamak amat berminat untuk menyentuh hal yang berkaitan dengan seks dan kahwin empat (ikut Nabi konon!).

            Semacam takut benar para ulamak di negara ini menyentuh isu rasuah dan penyelwengan sedangkan isu sedemikianlah yang amat ditekankan oleh Nabi Muhammad dan Khalifah-khalifah selepasnya. Aku pun tak tahu mengapa…..


abuhassanadam
18 September 2016