Tuesday, September 13, 2016

PEMIMPIN UMNO/BN PATUT MENCONTOHI DAVID CAMERON

            Tindakan Perdana Menteri British meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga sebagai wakil rakyat di parlimen seharusnya menjadi contoh dan ikutan pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang menerajui kerajaan. Ada pemimpin yang berbuat demikian. Tetapi tak ramai. Kebanyakannya masih lagi ‘bermuka tebal’ dan tidak mengendahkan cacian dan kutukan rakyat.

            Ada sebabnya mengapa mereka sanggup menahan ‘derita’ kutukan yang datang bertubi-tubi dari rakyat. Mereka tidak peduli apa rakyat kata disebabkan mereka merasakan bahawa segala jawatan yang dimiliki oleh mereka adalah sebagai ‘ladang’ tempat mencari makan dan bukan sebagai tapak untuk memberi sumbangan kepada rakyat.

            Telah terbukti bahawa sesiapa sahaja yang memegang jawatan ( dalam UMNO misalnya), dan walau serendah mana pun jawatan yang dipegang pasti mendapat ‘habuan’ (atau dedak mengikut fahaman kini). Dari mana datangnya habuan berkenaan bukan menjadi persoalan aku. Yang jelas golongan yang mendapat peluang memegang jawatan akan hidup senang lenang, apatah lagi sekiranya memegang jawatan sebagai ketua bahagian UMNO misalnya. Ramai yang menjadi jutawan!

            Tentulah berbeza dengan keadaan yang wujud di negara-negara maju seperti Britain atau Jepun atau negara-negara Eropah lain. Malah Singapura menjadi begitu maju disebabkan pemimpinnya tidak mengamalkan rasuah sepertimana di negara kita. Lantas pemimpinnya berkhidmat semata-mata untuk rakyat dan demi kemajuan negara.

            Jangan disalah-sangka pula untuk mengatakan bahawa ini merupakan budaya orang Melayu atau budaya UMNO. Bukan begitu. Aku setuju kalau dikatakan bahawa budaya ‘dedak’ adalah budaya milik pemimpin UMNO kini dan bukan budaya UMNO tulin. Dan bukan yang diamalkan oleh orang Melayu tulin. Ketulinan perjuangan pemimpin UMNO lama terbukti apabila melihat keikhlasan Tunku Abdul Rahman yang sanggup menjual dereta rumah sewanya demi untuk membiayai perjuangan UMNO mendapatkan kemerdekaan negara. Ketulinan perjuangan para wanita UMNO (dulu) dapat dilihat daripada tindakan mereka melucutkan barang kemas mereka demi untuk membiayai perbelanjaan rombongan kemerdekaan ke London. Tetapi bukan kerana untuk mendapatkan ‘dedak’ atau untuk mendapatkan lembu-lembu..

            Semangat sedemikian telah hilang digantikan dengan  semangat mengejar ‘dedak’…..

abuhassanadam
13 September 2016  






No comments:

Post a Comment