GURU AGAMA MELARANG ORANG MELAYU
BELAJAR DI SEKOLAH INGGERIS
Aku
tak berani nak mengeluarkan ‘fatwa’ samada ‘helang’ di Langkawi atau Tugu
Negara patut dirobohkan atau tidak. Tetapi yang jelasnya, kononnya ‘penyu’ yang
terletak di tengah bandar Kuala Terengganu telah ditiadakan. Itulah kehebatan
pemerintahan parti PAS yang memerintah Terengganu pada suatu ketika dulu.
Semacam nampak pandai ‘meroboh’ tetapi tidak berusaha untuk ‘membina’. Maksud
aku masih ramai rakyat Terengganu yang masih seperti di takuk lama – miskin dan
papa kedana.
Semenjak
awal kurun ke 20, ketika Tanah Melayu d bawah penjajahan British, orang Melayu
sentiasa ditindas, diperbodohkan, ‘ditenginkan’ bukan sahaja oleh British
tetapi juga oleh golongan agama. Ustaz. Ustazah yang mengajar agama di
kampung-kampung. Dan yang anihnya orang Melayu ketika itu rela ‘dicucuk
hidung’. Rela ‘ditenginkan’. Ada asasnya mengapa orang Melayu rela
diperbodohkan, disebabkan para guru agama akan ‘mengkafirkan’ sesiapa sahaja
yang menentang ‘ajaran’ mereka.
Ramai
yang menjadi ‘mangsa’ ajaran dan nasihat para ustaz dan guru agama pada ketika
itu. Aku masih ingat lagi bagaimana pada zaman-zaman menjelang kemerdekaan,
anak Melayu ‘dilarang’ untuk belajar di sekolah Inggeris oleh guru-guru agama
yang mengajar di kampung. Mereka ditakutkan dengan mengatakan sesiapa yang
belajar di sekolah Inggeris akan memeluk agama Kristian akhirnya. Maka ramailah
anak-anak Melayu yang terlepas peluang belajar di sekolah Inggeris ketika itu.
Aku
dan adik perempuan aku agak bernasib baik kerana mempunyai ibu bapa yang
fikiran mereka mendahului zaman. Mereka seolah-oleh ‘menentang’ segala arahan
Tok Guru dan terus menghantar aku dan adik perempuan aku ke sekolah Inggeris,
walaupun sentiasa ‘dihina’ dan ‘diherdik’ oleh orang kampung. Sehinggakan pada
suatu ketika semacam ibu aku takut untuk pergi mengaji (mendengar ceramah Ustaz
Salleh, Alang Jawa) di surau dan masjid kerana sentiasa disindir disebabkan ibu
menghantar anak ke sekolah Inggeris.
Aku
masih ingat ( dan masih ternigiang-ngiang di telinga aku sehingga hari ini )
bagaimana seorang guru agama memberitahu kami bahawa Nabi Muhammad menyuruh
menuntut ilmu tetapi mestilah pelajaran agama dan bukan pelajaran Inggeris!.
Sentiasa ditekankan bahawa yang dimaksudkan pelajaran itu adalah pelajaran agama
semata-mata dan bukan pelajaran Inggeris.
Lantas
ramailah anak Melayu yang ketinggalan walaupun penjajah Inggeris menyediakan
sekolah Inggeris di setengah tempat. Dan
yang merebut peluang sedemikian tentulah kaum Cina dan kaum India. Di Kuala Kangsar
misalnya ada terdapat dua buah sekolah Inggeris, Clifford School dan Government
English Girl School ( kini Sekolah Raja Perempuan Kalsom). Zaman penjajahan
tidak ramai orang Melayu yang belajar di sekolah berkenaan.
Tidak
dinafikan tentang faktor-faktor lain yang menyebabkan orang Melayu di persekitaran
Kuala Kangsar tidak menghangtar anak mereka ke sekolah Inggeris pada ketika
itu, namun apa yang aku alami dan yang ‘dideritai’ oleh keluarga aku ialah
‘tekanan’ yang diberikan oleh guru-guru agama tentang kesan yang diterima
sekiranya menyekolahkan anak di sekolah Inggeris.
Banyak
lagi ‘larangan-larangan’ yang disampaikan oleh guru-guru agama yang mempunyai
ilmu agama yang ‘setengah masak’ pada ketika itu. Terlalu banyak ‘larangan’
mereka yang memungkinkan juga menyebabkan kemunduran orang Melayu pada ketika
itu. Dan kesannya sampai ke hari ini. Mungkin.
Sudah
sampai masanya para pendakwah atau ulamak, para ustaz dan ustazah memikirkan
cara baru pengajaran mereka supaya dapat memabantu memajukan orang Melayu dalam
ertikata yang sebenarnya dan tidak lagi membicarakan mengenai nikah kahwin dan
seks semata-mata. Terlalu banyak isu-isu besar mengenai orang Melayu yang
berada di hadapan kita untuk diselesaikan dan bukan hanya membincangkan perkara
remeh yang bukan sahaja memalukan bangsa kita dimata orang lain tetapi kurang
memberi faedah kepada kemajuan orang Melayu.
Fikirkanlah….
abuhassanadam
7 September 2016
Betul sekali.....setuju & sokong 👍
ReplyDelete