Saturday, September 17, 2016

MENGAPA KITA MASIH MEMPERSOALKAN ISU ‘MELAYU’ DAN ‘BUKAN MELAYU’

            Isu ‘Melayu dan bukan Melayu’ ini sepatutnya sudah selesai. Tidak sepatutnya dibincangkan lagi. Telah selesai. Apatah lagi setelah setengah abad kita merdeka. Sepatutnya ‘Bangsa Malaysia’ telah wujud dengan gagah dan perkasa di bumi bertuah ini. Dan sepatutnya kita bersyukur kerana wujudnya berbagai kaum di Malaysia ini kerana dengan wujudnya berbilang kaum itu juga kita boleh hidup melalui kerjasama, sandar-menyandar antara satu dengan yang lain. Bekerjasama untuk Malaysia.

            Pemimpin negara sentiasa menyeru agar wujud kerjasama erat antara kaum-kaum di Malaysia tetapi dalam keadaan tertentu para pemimpin negara ( para menteri misalnya) juga yang seolah-olah ‘menaja’ agar wujud perbezaan kaum di negara ini. Walaupun tidak dilakukan dengan jelas dan terang, menampakkan bahawa pemimpin negara mahukan supaya wujud perbezaan dikalangan kaum-kaum di Malaysia. Matlamatnya jelas ia itu untuk menjalankan dasar ‘divide and rule’ seperti yang pernah dilakukan oleh British dulu ketika menjajah Tanah Melayu.

            Isu kaum dan isu agama sememangnya amat sensitif kepada sesuatu kaum. Dengan memainkan kedua-dua isu ini sudah cukup untuk membakar perasaan sesuatu kaum. Dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab akan memainkan isu berkenaan demi untuk mencapai matlamat mereka, untuk terus berkuasa.

            Orang Melayu sepatutnya sudah tidak perlu bimbang dengan kedudukan orang Melayu di Malaysia kini. Kelemahan orang Melayu dalam semua bidang bukan disebabkan ancaman daripada kaum bukan Melayu. Kaum Cina misalnya. Kelemahan yang dimiliki oleh orang Melayu disebabkan oleh orang Melayu itu sendiri (termasuk aku) dan tindakan pemimpin Melayu yang hanya ‘cakap tak serupa bikin’.

            Apa tidaknya. Apakah tidak lengkap Perlembagaan Malaysia yang menyediakan berbagai peruntukan untuk mengawal orang Melayu? Hak istemewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam sudah lengkap termaktub dalam perlembagaan semata-mata untuk mengawal orang Melayu. Dari segi perkhidmatan awam pula, apakah masih tidak sempurna apabila majoriti kakitangan awam terdiri dari orang Melayu. Apakah belum puas lagi hati orang Melayu (termasuk aku)?

            Orang Melayu harus sedar bahawa kelemahan yang ada pada orang Melayu adalah disebabkan oleh kesilapan orang Melayu juga. Para pemimpin negara harus mencari jalan mengenalpasti apakah silapnya dan berusaha bersungguh begaiamana mengatasi dan membetulkan kesilapan itu. Jikalau perlu bantuan dari kaum Cina, kita minta kerjasama kaum lain untuk betul-betul memajukan orang Melayu. Usaha sebegini bukan tidak pernah dilakukan tetapi hanya dilakukan secara sambil lewa oleh para pemimpin negara. Melepaskan batuk di tangga.

            Pihak kerajaan pimpinan UMNO/BN boleh melakukannya dan bukan hanya sekadar untuk mendapat ‘habuan’ dari taukeh Cina apabila sesuatu kontrek diperolehi. Dan kemajuan orang Melayu bererti kemajuan seluruh orang Melayu dan bukan segelintir orang Melayu yang hanya menjadi ahli UMNO. Bukan begitu.

            Negara ini milik semua. Melayu, Cina, India, Kadazan dll.

abuhassanadam
17 September 2016


            

No comments:

Post a Comment