Monday, September 12, 2016

AHLI SUKAN KITA MENGHARUMKAN NEGARA TETAPI IMDB MEMUSNAHKANNYA

            Bersempena dengan Hari Raya Korban yang kita rayakan kini, Abdul Latif, Mohamed Rizuan dan Muhammad Ziyad sedang melakukan pengorbanan yang cukup besar mengharumkan nama negara dalam bidang sukan. Tetapi malangnya ada pemimpin di negara kita yang ‘berbangga’ dengan ‘kejayaan’nya menghancurkan negara, khususnya yang berkaitan dengan skandal IMDB.

            Sebenarnya rakyat Malaysia sentiasa menunggu kejayaan sebagaimana yang dilakukan oleh tiga orang anak muda yang menempa kejayaan dalam bidang sukan ini. Sebenarnya Malaysia ‘BOLEH’ tetapi disebabkan pemimpin yang lebih mementingkan projek dan rasuah daripada memajukan lapangan-lapangan tertentu maka menyebabkan rakyat lemah semangat.

            Kita sudah membuktikan yang kita mampu untuk menempa kejayaan. Negara ini mempunyai bakat yang tidak kurang hebatnya seperti juga negara-negara lain di dunia. Walau dalam bidang dan lapangan apa pun. Tetapi disebabkan penumpuan pemimpin negara kita yang tidak tentu hala tujunya maka segala bakat yang terpendam hancur dan musnah begitu sahaja.

            Aku sentiasa membayangkan 1980an dan 1990an yang merupakan zaman emas bagi negara kita. Aku selalu mengimpikan zaman itu kembali semula. Seingat aku bahawa bermula Kurun ke 21, maka bermulalah zaman menurun bagi negara Malaysia. Rakyat semacam hilang pedoman dan hilang fokus. Dan kini rakyat semacam ‘meraba-raba’ tentang hala tuju negara. Ke manalah hendak dituju. Apatah lagi mengenangkan tahun 2020 semakin hampir. Kepimpinan negara seolah-olah sudah melupakan Wawasan 2020.

            Aku masih memikirkan nasib anak cucu aku.


abuhassanadam
12 September 2016
Hari Raya Korban





No comments:

Post a Comment