Tuesday, September 13, 2016

APAKAH MELAYU MASIH BERMARUAH?

            Aku tak pula kata yang orang Melayu tidak bermaruah.Cuma aku tanya ( atau  tumpang bertanya) apakah masih ada maruah lagi yang dimiliki oleh orang Melayu.

            Dulu-dulu orang Melayu amat terkenal dengan watak yang lemah lembut dan berbudi bahasa sehinggakan ‘kampung tergadai’. Aku tidak juga tahu siapa yang menggelarkan yang orang Melayu sebagai bangsa yang berbudi bahasa dan lemah lembut. Namun dari apa yang diperhatikan sememangnya bangsa Melayu suatu bangsa yang lemah lembut dan berbudi bahasa. Masih ada lagi saki-baki sikap dan pekerti demikian terutama di kampung-kampung.

            Baru-baru ini ketika pulang ke kampung (musim buah-buahan) bersama anak-anak, aku terkejut apabila anak aku (yang seluruh kehidupannya di bandar Kuala Laumpur dan juga di luar negara) menyatakan kekagumannya terhadap sikap dan budi baik orang kampung aku. Dia merasa begitu selesa sekali berada di tengah masyarakat kampung yang berbudi bahasa. Lantas beliau menyarankan agar aku menulis dan membukukan budaya kampung yang beigutu murni itu.

            Sebaliknya aku pula mempersoalkan apakah yang masih ada pada orang Melayu untuk dibanggakan. Aku pernah merasa hidup dalam masyarakat Melayu ( kampung ) yang berbudi bahasa, bertimbang rasa yang mengamalkan berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. Aku pernah hidup dalam zaman orang Melayu bergotong royong dalam memotong dan menuai padi.

            Kini budaya murni orang Melayu yang sentiasa dibanggakan itu semacam sudah hilang digantikan dengan ‘wajah’ orang Melayu yang bodoh sombong, kaki putar belit, pemimpin yang perasuah yang sentiasa berusaha untuk memeras wang rakyat. Disebabkan segelintir pemimpin Melayu yang bersikap hodoh, maka seluruh bangsa Melayu menerima akibatnya. Seekor (mungkin beberapa ekor)  kerbau (atau lembu )membawa lumpur hampir kesemua orang Melayu terpalit.

            Aku masih merasakan bahawa masih ada lagi saki baki orang Melayu yang berbudi bahasa yang sentiasa menitik beratkan nilai-nilai murnia yang dipusakai dari datuk nenek moyang kita. Hanya segelintir sahaja yang berperangai buruk yang ‘menenggelamkan’ seluruh bangsa Melayu. Disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.

            Golongan yang mencemarkan nama Melayu ini harus ‘ditiadakan’ secepat mungkin dengan apa cara sekalipun.

abuhassanadam

13 September 2016

No comments:

Post a Comment