Friday, September 16, 2016

DATO’ HARUN DIN – KENANGAN BERSAMA KETIKA BERCERAMAH DISEKITAR UK & EIRE

            Innalillah hi wainna illahi rajuun… Didoakan agar rohnya ditempatkan dikalangan golongan yang beriman..Amin.

            Hampir satu minggu aku bersama dengan arwah suatu ketika dahulu dalam tahun 1996. Tidak akan dapat aku lupakan peristiwa bersama beliau ketika kami-kami sama ‘mengelilingi ‘ UK dan Eire. Sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di UK, aku menjemput Arwah Dato Harun Din untuk mennyampaikan ceramah agama kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di London, Cardiff, Birmingham, Glasgow, Dublin dll.

            Maknanya kami terpaksa ‘mengembara’ dan ‘berpindah-randah’ dari satu bandar ke suatu bandar yang lain. Itulah merupakan peluang keemasan bagi aku untuk ‘mendalami’ hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Dan aku mengakui tentang kedangkalan ilmu agama yang ada pada aku. Lantas selama seminggu itu aku menyediakan puluhan soalan dan isu-isu yang berkaitan dengan agama.

            Apa tidaknya. Kecuali apabila tidur sahaja kami berada dalam bilik yang berasingan. Selain daripada itu aku dan arwah sentiasa bersama. Ketika makan pagi, makan tengah hari, dalam kereta, ketika bersama pelajar-pelajar arwah sentiasa bersama dan sepanjang perjalanan itulah aku menerima ‘kuliah’ yang amat berharga. Dan tidak ternilai rasanya kuliah-kuliah yang disampaikan oleh beliau itu. Dan beliau tidak pernah jemu ketika menerima soalan yang aku kemukakan kepadanya. Dan jawapan yang diberikannya sungguh jelas dan ikhlas.

            Kini beliau sudah tidak ada lagi. Hanya tinggal kenangan.

            Banyak kenangan yang tidak boleh aku lupakan. Satu petang beliau sampai di Heathrow lebih kurang pukul 6.00 petang. Musim Winter. Sudah gelap. Selepas sahaja urusan bagasinya beliau bertanya aku apakah program yang diatur untuk malam ini. ‘Dato berehatlah dulu malam ini’ jawab aku. Sememangnya tidak ada program yang diatur pada malam itu. Arwah minta aku aturkan satu program pada malam berkenaan. Lantas aku menggerakan agar satu ceramah diadakan untuk pegawai-pegawai kedutaan dan isteri diadakan di Malaysia Hall. Begitulah sifat gigih yang ditunjukkan oleh arwah.

            Kini beliau sudah tidak ada lagi. Hanya tinggal kenangan.

            Dalam perjalanan ke Cardiff dengan kereta, aku tidak menyangka kami terpaksa melalui kesesakan yang luar biasa. Kebetulan ada pertandingan bola sepak yang menyebabkan jalan raya terlalu sesak. Aku agak cemas takut kalau-kalau Arwah tidak dapat sampai di majlis ceramah di Cardiff pada waktu yang ditetapkan. Dan aku telah memanggil Abdul Rani ( Warden di Cardiff pada ketika itu) untuk memberitahu pelajar yang menunggu tentang kemungkinan itu. Arwah faham yang aku dalam keadaan cemas. ‘Insyallah Pak Abu….’ katanya ringkas. Memendekkan cerita, kami sampai tepat pada waktu yang ditetapkan. Dan aku tidak tahu bagaimana pemandu kami Slanther Singh dapat memandu dengan berhemah dan sempat sampai. Hanya Allah yang mengetahui.

            Kini beliau sudah tidak ada lagi. Hanya tinggal kenangan.

            Kemana-mana saja arwah mengadakan ceramah di sekitar UK & Eire tidak akan kelihatan kerusi kosong. Maknanya setiap dewan besar di sesebuah universiti akan penuh padat dengan para pelajar kita yang datang dari jauh dan dekat semata-mata untuk mendengar ceramah arwah. Tidak seperti penceramah lain (para menteri misalnya ) MSD terpaksa ‘memaksa’ para pelajar untuk datang mendengar ceramah yang diadakan. Dalam hal Dato Harun Din, para pelajar dengan rela hati dan gembira untuk mendengar ceramah agama beliau.

            Seingat aku para pelajar di UK & Eire pada ketika itu sangat memilih penceramah untuk mereka hadir di sesuatu majlis ceramah. Seingat aku selain daripada Dato Harun Din, hanya dua orang tokoh negara yang boleh menyebabkan para pelajar memenuhi setiap kerusi dalam dewan. DS Dr. Mahathir dan Saudara Anwar Ibrahim. Itu saja.

            Kini Dato’ Harun Din sudah tidak ada lagi. Hanya tinggal kenangan.

            Tentulah banyak peristiwa menarik yang ingin aku tuliskan berkaitan dengan arwah yang juga amat disayangi oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Mungkin dikesempatan lain akan ku coretkan peristiwa dan kenangan manis antara aku dan Dato Harun Din.

            Al Fatihah

abuhassanadam
16 September 2016


No comments:

Post a Comment