Wednesday, April 24, 2013

AKHBAR, TV MILIK KERAJAAN KETERLALUAN


AKHBAR, TV MILIK KERAJAAN KETERLALUAN

Bagi aku UMNO-BN sedang tenat.  Itu pandangan peribadi aku. Rakan-rakan aku dalam UMNO –BN pasti marah betul apabila aku kata begitu. Aku boleh bayangkan kemarahan  mereka, tapi taklah sampai tak bertegur sapa. Di masjid satu saf juga. Pada majlis khenduri, gelak ketawa, gurau senda seperti biasa.  Tidak pula mencetuskan perbalahan peribadi. Cuma yang aku kata UMNO-BN dalam keadaan tenat tu berdasarkan pandangan dan pemerhatian aku. Itu pun kadang-kadang bukan betul pun. Dan kalau aku mengkeritik DS Najib bukanlah bermakna mengkeritik beliau secara peribadi tetapi atas kapasiti beliau sebagai pemimpin UMNO-BN.

Apabila DS Najib tidak mahu berdebat dengan DS Anwar mengenai manifesto parti masing-masing disamping membahaskan isu-isu semasa, maka dengan sendirinya aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada UMNO-BN. Mengapa DS Najib tak mahu mengambil peluang yang sebegini untuk menjelaskan sesuatu kepada rakyat terbanyak. Dan peluang yang sebegini juga membolehkan DS Najib ‘ mematahkan’ segala hujah DS Anwar Ibrahim sepertimana yang sentiasa diucapkannya di majlis-majlis ceramah seluruh negara.

Kini rakyat akan membuat andaian mengatakan bahawa UMNO-BN tewas sebelum bertempur. DS Najib hanya berani ‘pukul curi’ melalui  TV milik kerajaan. Kejantanannya hanya berani dipamerkannya melalui TV dan Radio dan tidak berani langsung untuk berdepan dengan DS Anwar atas kapasitinya sebagai Ketua Pembangkang. Ini satu lagi persepsi rakyat. DS Anwar hebat. DS Anwar semamngnya seorang pemimpin yang berani. Amat susah untuk menghilangkan persepsi sebegini di hati rakyat, sehinggalah DS Najib sanggup ‘menyinsing lengan’ dan tampil untuk berdebat dengan DS Anwar Ibrahim. Selagi itu tidak berlaku maka selagi itulah persepsi rakyat akan terus bersemadi di hati mereka.

Aku merasakan ‘ Debat’ merupakan elemen yang sangat penting dalam perkembangan sesebuah negara demokrasi. Aku kata begitu adalah berpunca daripada pemerhatian aku yang berkesempatan melihat kesuburan perkembangan demokrasi di dua buah negara maju yang mengamalkan demokrasi di dunia. Amerika Syarikat dan Great Britain. Walaupun ada tindakan mereka yang tidak demokratik namun dari segi kebebasan bersuara, aku rasa mereka hebat..Tak payah aku cerita dengan panjang lebar mengenai ‘Presidential Debate ‘ di Amerika Syarikat sebab ramai rakyat di Malaysia sudah menonton siarannya melalui saluran TV berbayar.

Cuma aku nak sentuh tentang apa yang berlaku di Great Britain. Aku bernasib baik berada di sana sepanjang perjalanan PRU ( 1997)  mereka sebelum dan selepas. Entah PRU yang keberapa aku dah lupa.  Berbeza jauh benar dengan PRU yang dijalanakan di negara kita dari segi kegiatan berkempennya. Dalam persidangan parlimen yang dipancarkan secara ‘live’, hampir setiap hari kelihatan John Major (Perdana Menteri ketika itu) berdebat dengan Tony Blair ( sebagai ketua pembangkang  Labour Party ). Rakyat boleh tonton. Tidak ada sekatan. Tak perlu ada ceramah. Rakyat boleh buat penilaian. Bukan menilai siapa yang kacak dan segak. tetapi menilai dasar-dasar yang ingin dikemukakan oleh mereka.

Bagi aku itu baru betul merupakan sebuah negara yang betul-betul mengamalkan prinsip demokrasi dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Tidak pula aku memperkatakan hal sebegini menunjukkan bahawa aku menyanjung membabi buta negara-negara berkenaan. No way… Yang aku kata itu berasakan  fakta yang cukup terang dan jelas.

Amat berbeza dengan apa yang berlaku di negara kita yang tercinta ini. Kadang-kadang aku merasa cukup malu apabila aku melihat akan ‘perangai dan ‘gelagat’ tindakan setengah pihak yang bertanggungjawab di negara ini. Dan yang anihnya ‘pelaku-pelaku’ yang melakukan perkara aib ini seolah-olah bangga pula dengan apa yang mereka lakukan.

Sebagai contoh siaran Berita dalam TV milik kerajaan dan yang dimiliki oleh pihak swasta juga secara terang-terang menjalankan  propaganda  mempromosi BN-UMNO dan mengutuk parti  lawan. Terang-terang. Tanpa berselindung. Tanpa segan dan silu. Kadang-kadang apabila aku melihat keadaan sedemikian, terlintas di kepala aku tentang ‘kebodohan’ yang terserlah pada pelaku-pelaku yang melaksanakan rancangan itu. Apakah mereka tidak terfikir yang rakyat kini sudah boleh berfikir lebih hebat dan lebih matang daripada mereka yang menulis bahan berita berkenaan. Analisis rakyat di luar lebih hebat daripada analisis yang dibuat oleh penulis berita berkenan. Tak  ada rasa malu ke…….

Dalam keghairahan pihak-pihak tertentu untuk mempengaruhi rakyat untuk menyokong BN-UMNO, dipanggil pula ‘golongan bijak pandai’ tertentu untuk memberikan pandangan mereka mengenai sesuatu topik berbau politik. Maka ‘berceloteh’lah  para ‘bijak pandai’ berkenaan ‘menasihati’ rakyat, seolah-olah mereka sahajalah yang pandai dan pernah belajar di universiti dan memperolehi ijazah yang berjela-jela pulak.

Aku hairan lagi. Mengapa ‘bijak pandai’ yang sama yang sentiasa dijemput oleh pihak TV untuk memberikan pendapat. Lagi-lagi ‘ professor’ itu. Lagi-lagi ‘professor’ ini. Aku bertanya diri aku. Professor beberapa kerat ini saja kah yang pandai dan yang wujud di bumi Malaysia ini. Apakah professor yang berlambak-lambak di pusat pengajian tinggi yang lain itu bodoh-bodoh belaka ke? Ataupun mungkin agaknya ‘ professor’ inilah yang telah menulis ratusan kertas kerja yang pernah beberapa kali dibentangkannya di persidangan anatara bangsa di luar negara. Ataupun mungkin segelintir ‘professor’ dan bijak pandai ini sentasa dijemput oleh pihak TV disebabkan mereka pernah dianugerahkan Nobel Laureates, yang kita tak tahu.

Aku terpaksa tulis komen yang sebegini  disebabkan pihak TV milik kerajaan Malaysia ini secara berleluasa bertindak seolah-olah rakyat Malaysia kini dalam keadaan yang cukup bodoh, tongong, tengin, bangang dll. Untuk pengetahuan pihak yang berkenaan, rakyat sebenarnya sedang memerhatikan gelagat ‘tuan-tuan’ semua. Rakyat sebenarnya sudah cukup muak dengan sikap yang ‘tuan-tuan’ tunjukkan. Memperbodohkan rakyat seolah-olah rakyat diluar masih bodoh….

Berita yang berunsur fitnah terhadap DS Anwar Ibrahim hampir setiap malam ditayangkan melalui TV milik kerajaan. Apakah pihak yang bertanggungjawab ‘buta perut’ benar, sampai tidak mampu untuk memikirkan bahwa sebenarnya rakyat sudah tidak lagi mengikuti siaran Berita yang dipancarkan melalui TV kerajaan. Sebenarnya penayangan video lucah dan memburuk-burukkan DS Anwar Ibrahim sebenarnya akan ‘memakan diri’  pihak UMNO-BN sendiri. Hanya penonton yang  sudah ‘ meletakkan jawatannya sebagai seorang yang cerdik’ sahaja yang percaya dan mengagungkan apa yang dilakukan oleh pihak TV dan akhbar berkenaan.

BN-UMNO masih ada masa lagi untuk mengubah persepsi rakyat. Fikirkanlah yang terbaik.


Abuhassanadam
24 April 2013