Sunday, April 7, 2013

TAK DAPAT JADI CALON - MERAJUK....MELOMPAT !


TAK DAPAT JADI CALON – MERAJUK…SABOTAJ.....

Rapuh betul pegangan dan prinsip manusia di Malaysia kini. Bagi aku jikalau dah berminat sangat nak menjadi calon dalam PRU 13 bermakna seseorang itu sudah merasakan dirinya layak menjadi pemimpin ler. Sekurang-kurangnya dia merasakan dirinya sudah layak menjadi seorang pemimpin walaupun orang lain merasakan sebaliknya.

Maksud aku tentulah tidak sama dengan kepimpinan Nabi Muhammad, Saidina Umar atau yang seumpamanya. Aku mengenengahkan isu ini adalah disebabkan isu kepimpinan kini merupakan isu panas. Ramai yang menawarkan diri nak jadi pemimpin. Ramai yang merasakan diri mereka amat layak jadi pemimpin. Orang lain tak layak. Dia sajalah yang layak.

Aku dengar sudah ada yang merajuk kerana tidak dipilih menjadi calon dalam PRU13. Peristiwa sebegini sudah menjadi perkara lumrah dikalangan ahli parti Barisan Nasional sejak zaman berzaman semenjak wang dianggap sebagai ‘tuhan’. Kini aku dengar ada pula yang mengatakan bahawa dalam Pakatan Rakyat juga akan ada orang yang merajuk kerana tidak dipilih menjadi calon. Dan ekoran daripada peristiwa itu akan ‘melompat’ menyertai UMNO!

Ada lagi rupanya pemimpin sedemikian….Aku ingatkan selepas beberapa ‘ ekor katak’ yang melompat menjadi wakil rakyat bebas, tidak adalah lagi ‘pemimpin’ yang bersikap demikian.

Bagi aku sekiranya ada yang bersungguh-sungguh benar nak jadi calon pilihanraya, maka niat dan hasrat sedemikian pasti tidak ikhlas. Ataupun hanya untuk mencari keuntungan diri. Dan pastinya ‘pemimpin’ sedemikian adalah mengikut acuan yang telah dibentuk oleh UMNO semenjak zaman berzaman.

Aku perhatikan ramai sangat minta disenaraikan sebagai calon (BN). Jadi calon. Tak menang pilihanraya pun tak apa. Jikalau menang lagi baguslah. Mengapa ‘puak-puak’ ini bersungguh-sungguh benar nak jadi calon? Kerana hanya dengan menjadi calon sahaja ( parti BN ) sudah cukup untuk menyara keluarga untuk seumur hidup. Tidak kira lah samada calon itu menang atau kalah. Yang pentingnya kita beroleh ‘keuntungan’ yang begitu lumayan hasil dari peruntukan pilihanraya yang disediakan oleh parti. Aku tak tahu jumlahnya. Tapi melihatkan ‘lagak dan gaya’nya, pasti mencapai ratusan ribu ringgit. Mungkin….

Itu merupakan budaya UMNO dan Barisan Nasional.

Yang aku hairan, dalam Pakatan Rakyat pun sudah mahu mencipta budaya sedemikian. Berebut-rebut nak jadi calon. Tak dapat jadi calon merajuk. Tinggalkan parti. Aku harap kepimpinan Pakatan Rakyat akan menghapuskan budaya sedemikian. Aku yakin DS Anwar Ibrahim, DS Haji Hadi dan YB Lim Kit Siang akan bertegas untuk memerangi agar budaya ini tidak menular dalam Pakatan Rakyat. Persetankan satu dua orang yang bersikap demikian. Matlamat kita bukan sahaja menukar kerajaan tetapi menukar sistem dan memperkenalkan budaya baru. Reformasi.

Dalam amalan budaya lama seseorang ingin benar menjadi calon kerana,
·      Kalau-kalau dapat menjadi wakil rakyat.
·      Bila dah jadi wakil rakyat, akan dapat elaun dan segala kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.
·      Bukan setakat elaun, akan dapat berganding bahu dengan pihak yang berkuasa meluluskan kontrek berjuta ringgit. Cuba lihat disekeliling kita, kebanyakan kaum keluarga wakil rakyat terdiri golongan berada yang sebelumnya adalah papa kedana ( sebilangannyalah)
·      Pendek kata jikalau dapat menjadi calon, sudah cukup untuk menempah tiket ke arah kebahagian hidup yang amat lumayan. Mungkin sepanjang hayat.

Persoalannya ialah apakah Pakatan Rakyat juga akan meneruskan budaya sedemikian? Bagi aku seseorang yang dilantik sebagai wakil rakyat dalam budaya baru,

·      Perlu berkhidmat untuk rakyat menepati ertikata yang sebenar-benarnya. Macam TS Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Sanggup meninggalkan kekayaan dan kesenangan untuk berkhidmatt kepada rakyat.
·      Bukan mencari keuntungan.
·      Akan berusaha bersungguh-sungguh membina negara dan memertabatkan marwah bangsa.
·      Akan melupakan sejenak kepentingan diri sepertimana yang dilakukan oleh DS Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz, Saudara Lim kit Siang dan lain-lain.

Setahu aku pemimpin-pemimpin terdahulu tidak begitu mementngkan sangat soal nak jadi kaya apabila memimpin kerajaan jika dibandingkan dengan kebanyakan pemimpin sekarang.. Dulu, apabila mereka meninggalkan jawatan kerajaan, mereka tidak membawa kekayaan bersama mereka. Pendek kata mereka tidak mementingkan diri mereka semasa menerajui kerajaan, semasa berkuasa. Misalnya Tunku Abdul Rahman tidak bergelar jutawan ( jauh sekali bergelar billionaire ) semasa berhenti dari jawatan Perdana Menteri. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin lain.

Amat berbeza dengan keadaan sekarang. Mungkin pemimpin dulu dianggap ‘bodoh’ oleh pemimpin kini kerana ‘tidak  pandai’ mencari dan menambah harta berbanding dengan mereka yang hampir kesemuanya bergelar jutawan dan hartawan. Jikalaupun mereka tidak bergelar ‘billionaire’ sekurang-kurangnya isteri, anak-anak mereka sudah mencapai ke tahap itu.Tak cukup dengan isteri dan anak-anak, kaum keluarga mereka juga tolong ‘ mengaut dan menimba’ kekayaan negara demi kepentingan untuk menyara mereka dan beberapa keturunan yang seterusnya.

 Apabila rakyat mempersoalkan bagaimana anak-anak mereka begitu berjaya dalam perniagaan, mereka akan menjawab dengan mengatakan bahawa anak mereka yang mempunyai kepakaran dalam perniagaan.

Rakyat  hanya tersenyum sinis……….

Abuhassanadam
7 April 2013

No comments:

Post a Comment