Wednesday, April 24, 2013

RAFIZI - PEMIMPIN MUDA HARAPAN NEGARA


RAFIZI- PEMIMPIN MUDA HARAPAN NEGARA

DS Najib dengan caranya.  DS Anwar juga dengan caranya. Kita tengok siapa yang berjaya nanti menawan hati orang muda. Kononnya orang muda lah nanti yang akan menentukan nasib negara dalam PRU 13. BN mengadakan berbagai program menambat hati orang muda. Pakatan Rakyat pun begitu juga, dengan caranya yang tersendiri. Tetapi tak ketara sangat sebab tidak disiarkan oleh TV. Ramai orang tak tahu. Berbandingkan dengan program yang dianjurkan oleh Barisan Nasional. Riuh sekampung.

Memperkatakan tentang ‘menawan hati’ seorang manusia memanglah bukan perkara enteng. Bukan senang. Macam orang muda nak menawan hati seorang dara ler. Tak senang. Mengambil masa yang begitu lama.. Kadang-kadang disebabkan kesilapan kecil akan membuatkan hasrat tak sampai. Kecewa. Frust kata orang muda sekarang.

Begitulah gambaran tentang kesusahan yang dialami kepimpinan sekarang untuk menawan hati orang muda supaya menyokong parti masing-masing. DS Najib dan kumpulannya berusaha sedaya upaya untuk membawa para belia menyokong UMNO. Berbagai program dijalankan. Beratus ribu ringgit dicurahkan untuk kegiatan ‘mengambil hati’. Berbagai sagu hati dan hadiah dihulurkan agar para belia menyokong BN dalam PRU 13 nanti.

Apakah akan berjaya pihak UMNO-BN menawan hati orang muda? Mungkin. Keputusan samada berjaya atau tidak akan kita lihat keputusan PRU 13 nanti.

Bagaimana pula dengan tektik dan strategi Anwar Ibrahim?

Anwar lahir dan membesar dalam suasana berpersatuan. Sebagai pemimpin persatuan. Ketika dibangku sekolah menengah sudah mula berlatih menjadi pemimpin pelajar di sekolah menengah. Dan apabila berada di Univeristy Malaya telah menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu University Malaya. Menjadi pemimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan kemudiannya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Disamping itu terlibat juga dengan berbagai pertubuhan lain di dalam negara ataupun diperingkat international. Keterlibatan yang sedemikian menyebabkan Anwar amat rapat dengan soal kepimpinan belia sehingga hari ini walaupun sudah tidak dipanggil belia lagi.

Ini amat berbeza dengan perjalanan hidup DS Najib yang setahu aku tidak begitu terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan belia samada di dalam atau di luar negara. Setahu aku ler. Beliau ‘dilontar’ ke mercu kepimpinan sebagai mewarisi ‘kerusi’ yang dikosongkan oleh ayahnadanya Tun Abdul Razak. Beliau tidak pernah bergelumang dan tidak tahu sepak terajang berpersatuan semasa mudanya sepertimana yang dialami oleh DS Anwar.

DS Anwar terpaksa berempas pulas berjuang untuk sampai ke mercu kepimpinan negara. Beliau tidak dibantu oleh sesiapa. Kejayaannya adalah diatas usahanya sendiri. Satu perkara yang memberikan kelebihan kepadanya ialah pengikutnya begitu ramai. Dengan sebab itulah apabila beliau sudah tidak lagi berada dalam kerajaan ( tidak berkuasa), pengikut setianya masih ramai, yang sanggup berjuang bermati-matian demi menegakkan prinsip yang diperjuangkannya, walaupun terdapat pembelot-pembelot ‘ musang berbulu ayam’.

Inilah kelebihan yang ada pada Pakatan Rakyat dan yang tidak dimiliki oleh UMNO. Misalnya kebanyakan pemimpin belia yang ada dalam UMNO adalah pemimpin yang ‘dicipta’ oleh pucuk kepimpinan bukan lahir sebagai pemimpin. Ketua puteri UMNO contohnya sudah tidak begitu kedengaran lagi. Pengaruh mereka juga sudah agak hilang di mata masyarakat. Mengapa begitu?. Ini adalah disebabkan oleh kemunculan mereka bukan disebabkan kebolehan dan bakat kepimpinan mereka tetapi adalah ‘dicipta’ oleh pucuk pimpinan. Pengikut mereka ‘dipaksa’ untuk menghormati mereka melalui ‘wang ringgit’ yang ditaburkan.

Berbeza dengan keadaan pemuda UMNO tahun-tahun kemerdekaan. Perjuangan mereka adalah tulin. Pemimpin UMNO pada ketika itu juga lahir bukan kerana ‘dicipta’ tetapi sebenarnya kelahiran mereka adalah disebabkan bakat kepimpinan yang ada. Lihat saja Kapten Hussin Onn, Sardon Zubir yang pernah menjadi ketua Pemuda UMNO pada suatu ketika dulu. Kehebatan mereka dapat menyatukan pemuda-pemuda Melayu dalam UMNO dan berjuang sehingga tercapai kemerdekaan negara. Aku sangsi kalau-kalau ada kepimpinan dalam UMNO yang sedemikian rupa pada hari ini.

DS Anwar Ibrahim begitu berjaya dan  hebat sebagai pemimpin belia pada tahun-tahun 70an sehngga 1990an. Belia-belia yang dipimpinnya kini sudah menjadi orang tua. Persoalannya ialah apakah para belia kini boleh menerima DS Anwar Ibrahim sebagai pemimpin mereka? Ada kemungkinan ‘ya’ atau pun ‘tidak’. Ramai para belia kini tahu siapa dia Anwar Ibrahim tetapi tidak mengenalinya dengan dekat, akan kehebatannya ‘berpencak’ di dalam dan di laur negara. Mereka tidak tahu. Hanya segelintir yang tahu.

Oleh itu apakah usaha Pakatan Rakyat untuk menawan para belia. Mereka telah menyediakan ‘pengganti’ Anwar Ibrahim. Nurul Izzah dan Rafizi Ramli. Berbekal pengalaman  berpersatuan semasa belajar di Malay College Kuala Kangsar dan ditambah pula dengan pengalaman yang ditimba ketika berada di luar negara ( United Kingdom) Rafizi sudah boleh menggantikan Anwar, walaupun tidak seratus peratus seperti DS Anwar. Sekurang-kurangnya para belia dari berbagai kaum di Malaysia sudah melihat Rafizi sebagai pemimpin mereka yang boleh dijadikan tempat mereka ‘ menyangkutkan dagu’.

Nurul Izzah yang mendapat jolokan sebagai ‘Puteri Reformasi’ sudah barang tentu dapat memainkan peranan menawan hati para belia untuk menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU 13 nanti. Kewibawaanya sebagai pemimpin muda sudah terbukti apabila berjaya meletakkan dirinya sebagai calon yang menewaskan Ketua Wanita UMNO Malaysia pada tahun 2008. Melalaui pengalaman pahit yang dilaluinya sebagai puteri kepada DS Anwar Ibrahim, para belia di Malaysia tidak ragu-ragu tentang kebolehannya sebagai pemimpin. Pasti para belia akan tertawan.

Semoga dua orang tokoh muda ini ( disamping beberapa orang tokoh lain)  dapat mengisi kekosongan yang dikosongkan oleh kepimpinan  belia terdahulu.

Abuhassanadam
24 April 2013

1 comment:

  1. Saya memang mengkagumi saudara Rafizi & saudari Nurul. Mereka mempunyai karisma dan fasih dengan kehendak rakyat masa kini. Mereka adalah "towering malays" yang selalu disebut of Dr M. Namun demikian, "towering malays" yang kita ada hari ini ialah tokoh tokoh yang kaya raya yang mendapat kontrak dan menjadi kroni kerajaan. Sesiapapun walaubagaimana hebat dan cerdik seperti Tan Sri Hassan Merican diketepikan kerana dia tidak "toe the line". Inilah cara kuno BN untuk menyebarkan idealogi "Ketuanan Melayu" dari segi apa aspek pun. Masa yang terbaik untuk berubah! Rafizi & Nurul untuk PM & DPM masa depan!!

    ReplyDelete