ANWAR
IBRAHIM DAN PERMATANG PAUH
SEPERTI
AUR DENGAN TEBING
Aku
lega apabila mendapat tahu DS Anwar Ibrahim akan bertanding di Permatang Pauh.
Dan aku sedih apabila mendengar khabar yang DSAI akan bertanding di Perak.
Sepatutnya aku gembira sebab Perak tu negeri aku. Tak kiralah di Tambun ke, di
Padang Rengas ke atau di Bagan Datoh ke. Pokoknya dia nak bertanding di Perak.
Sepatutnya aku gembira seorang pemimpin besar memilih negeri aku. Ini tidak….
Sebagai
orang kerdil aku cuba dengan cara aku mempengaruhi DSAI supaya jangan tinggalkan
Permatang Pauh. Antara Anwar dengan Permatang Pauh bukan setakat ikatan politik
tetapi ikatan kekeluargaan. Ataupun boleh aku sifatkan sebagai hubungan ‘
darah- daging’. Begitulah rapatnya hubungan DSAI dengan Permatang Pauh. Macam
hubungan aku dengan Padang Rengas ler. Nama Padang Rengas sentiasa berada dalam
lipatan hati ku. Begitu juga nama Anwar Ibrahim sentiasa berada dalam lipatan
hati orang-orang di Permatang Pauh, tak kira Melayu, Cina atau India.
Aku
juga faham mengapa DSAI hendak berpindah ke Perak. Dari segi strategi politik
memanglah betul dan tepat langkah itu. Bagi orang luar Permatang Pauh
sememangnya mengalu-alukan keputusan itu. Malah ada juga sebilangan kecil
pengundi di Permatang Pauh yang merelakan DSAI ‘berkelana’ ke Perak tetapi tentunya
dengan hati yang amat berat merelakan beliau pergi. Sebahagian besar pengundi di Permatang Pauh
pastinya tidak rela melepaskan dia pergi.
Doa
orang kampung Ceruk Tokkun dimakbulkan oleh Allah.
Harapan
DS Dr. Wan Azizah juga di restui oleh Allah.
Bagiku
persoalan hasrat perpindahan DSAI ke Perak bukan perkara kecil. Soal hati dan
persaan. Apabila melibatkan hati dan perasaan kesannya amat mendalam samada
positif atau negatif. Bagi orang Permatang Pauh, manusia yang bernama Anwar
Ibrahim adalah anak didik mereka. Mereka masih ingat siapa emak bapaknya,
semasa kecilnya, persekolahannya, masa mudanya dll. Pendek kata senang suasah
mereka bersama-sama. Itu sifat orang kampung. Dan telah pun dibuktikan oleh
mereka semasa DSAI dalam kesusahan. Mereka tidak lari membiarkan DS Dr. Wan
Azizah bersendirian. Mereka sedaya yang upaya menghulurkan bantuan dan
pertolongan.
Ini
yang dinamakan hati dan budi orang kampung. Aku tahu dan aku faham benar kerana
aku juga orang kamung totok. Orang ‘asli’. Walaupun aku jarang balik ke kampung
tetapi ikatan kekeluargaan aku dengan orang kampung adalah amat, amat rapat.
Mereka sentiasa di hatiku.
Aku
bimbang benar DSAI mengambil keputusan untuk berpindah ke Perak. Aku amat
bimbang tentang kesan buruk ekoran daripada perpindahan itu. Aku teringat
peristiwa sejarah yang boleh juga dikaitkan dengan peristiwa ini yang berhubung
kait dengan soal hati dan perasaan.
Ramai
anak-anak muda yang tidak tahu tentang kisah sejarah negeri Johor “ Sultan
Mahmud mangkat dijulang”. Amat dramatik.
Betul. Tetapi yang aku nak analisa ialah tentang kesan ekoran daripada
peristiwa berkenaan.
Sejarah
telah membuktikan bahawa Kesultanan Johor adalah warisan daripada Kesultanan
Melaka – keturunan Bukit Seguntang Maha Miru ( mengikut kitab Sejarah Melayu).
Ekoran daripada peristiwa “ Sultan Mahmud mangkat dijulang” maka berakhirlah
keturunan Kesultanan Melaka ( keturunan
Bukit Seguntang ) yang memerintah Johor pada tahun 1699.
Mengikut
Haji Said haji Sulaiman dalam bukunya “ Hikayat Johor” selepas kemangkatan
Sultan Mahmud, kerajaan Johor diperintah oleh golongan Bendahara dengan
dilantik putera Tun Habib Dato’ Bendahara Sri Maharaja Padang Saujana Johor
sebagai Sultan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil.
Kesan
daripada peristiwa amat menyentuh perasaan orang Melayu Johor, khususnya Orang
Laut. Mengikuti pengkaji sejarah Nusantara terkenal, L. Andaya, orang Johore (
Orang Laut ) merajuk. Orang Laut tidak lagi mahu berperang mempertahankan Sultan.
Mereka ‘menggantung’ senjata disebabkan kekecewaan yang amat sangat. Mereka
tidak mahu bertuankan Sultan yang bukan berketurunan Kesultanan Melaka –
keturunan Bukit Seguntang Maha Miru. Bagi mereka keturunan Bukit Seguntang
itulah keturunan Sultan yang sebenar.
Apa
pula hubungannya dengan peristiwa DSAI yang berhasrat untuk berpindah ke Perak
itu. Sekali lagi aku tegaskan ia merupakan ikatan hati dan perasaan. Aku amat
bimbang sekiranya DSAI berpindah juga, maka pengundi di Permatang Pauh akan
‘merajuk’. Dan kesannya tentulah buruk. Berbagai kemungkinan telah aku
fikirkan.
·
Mungkin mereka akan mengundi parti lain
sebagai protes kerana mereka sudah tidak ‘diendahkan’ lagi oleh DSAI. Ini
mungkin berlaku kerana kekecewaan orang Melayu yang sebegini boleh membawa kepada berbagai kesan yang
tidak diingini.
·
Pihak lawan ia itu BN akan mengembelingkan
habis-habisan isu ‘tidak mengenang budi’. Mereka akan berpesta melalui TV1, TV
3 dan akhbar-akhbar milik mereka mendedahkan kisah ‘ manusia yang tidak
mengenang budi’. Bukan sahaja pengundi di Permatang Pauh akan ‘termakan’ dengan
dakyah-dakyah sedemikian, tetapi pastinya ada juga pengundi-pengundi lain di
kawasan lain juga akan terpengaruh.
·
Sekiranya DSAI berpindah ke tempat baru pastinya
beliau terpaksa mencari sahabat dan kenalan yang baru. Tidak mudah. ‘ Mungkin
ramai yang akan ketawa, tetapi tidak pasti ramai yang akan menangis’. Berbeza
dengan pengundi di Permatan Pauh yang telah terbukti ‘sanggup menangis dan
ketawa’ bersama-sama.
Kini
semua sudah selesai. DSAI telah pun membuat keputusan untuk terus mewakili
Permatang Pauh. Dan aku amat yakin bahawa majoriti yang akan diperolehi oleh
DSAI pastinya melonjak naik, Insyallah. Dan satu perkara yang boleh dilakukan oleh
DSAI ialah beliau boleh meninggalkan kawasannya buat sementara untuk menolong
rakan-rakan lain berkempen di tempat lain kerana kawasannya di Permatang Pauh
pasti terjaga dan terpelihara.
Bukan
saja terpelihara dan terjaga tetapi mantap seperti aur dengan tebing.
Abuhassanadam
6
April 2013
No comments:
Post a Comment