Tuesday, April 23, 2013

KEMPEN PRU TAHUN 1960AN


KEMPEN PRU TAHUN 1960AN

Ini cerita lama. Cerita sejarah. Aku tujukan kepada anak-anak aku yang masih muda yang lahir selepas itu. Tapi orang tua yang lahir sebelum itu pun boleh baca. Apa salahnya. Tiada halangan.

Bagi orang tua, bolehlah tolong tambah mana-mana yang aku ketinggalan ataupun tak berapa betul fakta-fakta yang aku kemukakan. Bagi orang muda tentunya merupakan pengalaman baru, perkara baru yang dijumpai. Tentulah menyeronokkan. Lain dari yang lain. Amat berbeza dengan keadaan yang dilihatnya seperti yang dilihat kini.

Kempen pilihan raya pada ketika itu tidak sesengit seperti kini. Tidak ada kempen melalui blog, facebook, tweeter, sms. Tidak ada. Kerajaan pun tidak menjalankan kempen melalui radio seperti sekarang ni. TV baru ada satu dua saja di seluruh kawasan padang Rengas. .  Seingat aku pada tahun 1964 baru ada dua atau tiga peti TV saja di Padang Rengas. Di rumah Cikgu Ibrahim ( bapak Kamiliah ) dan satu lagi di kedai Cina yang menjual radio di pekan Padang Rengas. Di kampung aku ‘meghacun’! (tidak ada satu pun )

Nak cerita sikit fasal peristiwa yang menyayat hati dan juga melucukan berkaitan dengan menonton TV waktu itu. Di kampung aku memang tidak ada siapa yang memiliki TV waktu itu. Semuanya miskin belaka. Tak berduit nak beli TV. Mahal pulak tu. Jadi pada malam-malam tertentu ‘berarak’lah  orang kampung aku ke  pekan Padang Rengas untuk tengok TV. Orang muda-muda ler. Biasanya hari Jumaat malam Sabtu. Cerita Melayu.

Suatu malam yang ‘malang’ sedang kami berseronok menonton filem “Indera Bangsawan”, tiba-tiba taukeh kedai  Cina menutup TV nya. ‘Mahu titun” katanya. Dia nak tidur. Jadi kami yang sedang asyik menonton melalui pintu dan tingkap  kedainya ‘melopong’ ler. Nak kata apa. TV dia punya. Dia yang beli. Bila kita nonton TV nya bukan ada bayaran. Free. Jadi ikut suka dialah. Dia nak buka ke atau nak tutup, terpulang pada dia. Jadi kami pun ‘berarak’ pulang. Kecewa betul….‘Siksa’ betul hidup pada waktu itu!

Kerajaan Perikatan (BN) tidak menggunakan saluran radio dan TV untuk berkempen. Tidak seperti sekarang dimana pihak BN menggunakan saluran TV sepenuhnya untuk berkempen. Seolah-olah TV Malaysia sudah semacam TV BN (UMNO). Dan apabila melihat siaran berita pukul 8.00 malam melalui TV 1 atau TV 3, seolah-olah seperti aku berada di Padang Kulup Gagap pada tahun 1964   mendengar orang berkempen. TV1 dan TV3 aku lihat betul-betul berkempen.

Zaman dulu tidak begitu. Zaman Tunku Abdul Rahman jadi Perdana Menteri. Mungkin ada diselit-selitkan elemen berkempen, tetapi tidak secara terang-terangan. Pihak parti pembangkang juga diberikan peluang untuk menyampaikan manifesto parti melalui radio. Sekiranya kerajaan pada ketika itu menggunakan radio sepenuhnya untuk berkempen, tidak juga mendatangkan kesan yang besar keapda masyarakat.

·      Tidak ramai rakyat Malaysia yang memiliki radio dan TV pada waktu itu. Tambahan pula, lebih 90% kawasan luar bandar belum ada kuasa letrik. Radio dan TV ketika itu menggunakan kuasa battry ( battry kereta seperti sekarang )
·      Tidak ramai rakyat yang ingin mendengar ceramah politik melalui radio, terutama yang bercakap mengenai ‘manifesto’ dan dasar sesuatu parti. Rakyat lebih suka mendengar kempen yang berbentuk ‘makian’ dan ‘ kata-mengata’ antara satu dengan lain.

Oleh itu kempen yang dijalan di kawasan lapang amat popular pada waktu itu. Di kampung aku tidak ada kawasan lapang yang luas kecuali sebuah kawasan dihadapan rumah Pak Kulup Gagap. Orang kampung panggil Padang Kulup Gagap. Tak besar mana pun kawasan itu.  Boleh muat selebeh-lebihnya 300 orang. Pengundi di kampung aku yang boleh mengundi pada ketia itu aku agak dalam lingkungan tak sampai pun seratus orang. Itu termasuk Opah aku.

Pada pukul 4.00 petang kami dah tahu malam itu ada kempen. Padang Kulup Gagap dah di pasang ‘jambor’ (khemah) kecil beratapkan atap rumbia. ‘Loud Speaker’ dah di pasang di atas pokok kelapa. Pak Itam Derani yang pasang. Percuma. Dia buat secara sukarela. Bukan macam orang sekarang. Semuanya dilakukan dengan dibayar. Jikalau tidak dibayar, tak jadi kerja. Orang kampung ketika itu merasa bahagia sekiranya dapat memberikan pertolongan.

Memasang poster juga tidak dibayar. Kawan-kawan aku memang suka menampal poster. Ketika itu kebanyakan poster parti dibuat daripada kertas. Menggunakan kanji tepung ubi untuk melekatkan poster berkenaan di pokok-pokok atau di dinding-dinding rumah. Mesti ditempat yang terlindung.  Takut kena hujan. Maklumlah poster yang dibuat daripada kertas. ‘Upah’ yang diberikan kepada ‘petugas’ menampal poster hanyalah roti cana sekeping dan teh susu di kedai Keling Tengah di  pekan Padang Rengas. Itu pun sudah cukup untuk mengembirakan kami. Maklumlah jarang-jarang makan roti canai di Kedai Keling Tengah.

Hampir semua orang kampung hadir di majlis kempen parti Perikatan di Padang Kulup Gagap. Tidak dinafikan bahawa ada yang datang untuk mendengar penjelasan (kempen) calon, namun yang selebihnya ( termasuk aku dan kawan-kawan) datang ke majlis itu hanya untuk memenuhi masa lapang.  Mencari ‘hiburan’. Pada ketika itu bukan ada Drama Swasta atau “Akademi Fantasia” nak ditonton. TV pun tidak ada. Oleh itu apa saja keramaian yang ada, pasti orang kampung hadir. Bunyi ‘loud speaker’ adalah ibarat kalkatu dapat melihat lampu. Pasti akan berkerumun di situ.

Dalam ucapan calon tidak banyak dia bercakap mengenai hala tuju negara. Mungkin dia pun tak tahu ke mana hala tuju negara. Lulus Darjah Empat sekolah Melayu, manalah nak tahu mengenai hala tuju negara. Yang boleh dia bercakap ialah tentang peribadi calon lawannya. Mengutuk dan mengata. Jikalau pun dia nak bercakap mengenai ‘dasar’ kerajaan, yang boleh dijelaskannya ialah usaha kerajaan nak bina jalan raya, tali air, balai raya, dan lain-lain. Orang kampung akan bertepuk apabila dia berkata yang pembinaan jalan raya, masjid, balai raya akan dibina dengan segera di kampung kami.

Yang aku geli hati sampai kini, ialah orang kampung aku akan terus bertepuk apabila si calon dan kemudiannya menjadi wakil di kawasan aku akan terus mengatakan balai raya, jalan raya, masjid, tali air akan dibina secepat mungkin. Sudah tiga penggal si calon mengucapkan demikian. Namun balai raya, jalan raya, masjid, tali air tidak juga ada di kampung aku. Orang kampung aku terus bertepuk tangan……..

Kini sudah terlaksana apa yang dihasratkan oleh orang kampung aku. Setelah hampir dua puluh tahun menunggu!!!…….


Abuhassanadam
23 April 2013


1 comment: