Thursday, April 25, 2013

MENGAPA RAMAI KAWAN ANWAR MENINGGALKANNYA


MENGAPA RAMAI KAWAN ANWAR MENINGGALKANNYA
Ramai yang minta aku menulis tentang mengapa ramai kawan rapat Anwar meninggalkan dia. Aku kata aku tak tahu sebab-sebab yang sebenar. Lagipun aku kata antara aku dengan Saudara Anwar tidaklah serapat setengah kawan-kawan yang lain – macam kawan-kawan yang meninggalkan dia. Mereka rapat. Dulu ler. Sekarang dah meninggalkan dia.Aku tak serapat itu. Tetapi masih berkawan, tidak meninggalkan dia. Dan tidak pula aktif dalam PKR. Tetapi perjuangan Pakatan Rakyat  (PKR,PAS, DAP ) aku sokong. Perjuangan UMNO pun aku sokong – UMNO seperti yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak , Tun Dr. Ismail dll. Namun bagi aku UMNO kini sudah agak tercemar. Itu pandangan dan persepsi aku.
Mengapa  Anwar ditinggalkan oleh kawan-kawan rapat?
Untuk menjelaskannya aku nak bezakan kawan rapat dengan kawan seperjuangan. Bagi aku ada beza. Kawan rapat adalah kawan seperjuangan tetapi tidak semestinya kawan rapat adalah kawan seperjuangan. Aku pun dah keliru! Biar aku jelaskan cara senang.
Terlebih dulu aku mohon maaf menyebut nama kawan-kawan lama. Namun untuk menyenangkan penerangan dan penjelasan aku terpaksa sebut nama-nama tu. Diharapkan kawan-kawan tidak tersinggung dan aku tak akan menyinggung perasaan kawan-kawan. Aku akan dasarkan kepada fakta sebenar.
Rakan-rakan lama seperti Dr. Syed Hussein Ali, Saudara Kamaruddin Mohd. Noor, Saudara Omar Jaafar, Saudara  Sidik Fadzil,  Mohd Noor Manuti, dll adalah kawan rapat dan kawan seperjuangan. Bermula daripada University Malaya tahun 1970an. Aku taklah rapat sangat tapi aku ada bersama. ‘Buruh kasar’. Sentiasa ‘berada di pinggiran’. Orang tak penting ler. Tapi aku tahu hasrat perjuangan mereka. Anwar selalu menyebut bahawa ‘ kita adalah ‘the conscience of the majority…’. Sampai sekarang duk sebut yang itu ler. Kami faham dan kami meghayati dan akan melakukan apabila berkesempatan.
Kawan rapat tetapi bukan kawan seperjuangan dari mula Saudara Anwar adalah seperti Ezam Md.Noor, Roslan kassim, Annuar Shaari dll. Mereka semua ni adalah adik-adik kami belaka. Biar aku panggil kumpulan ini sebagai Kumpulan 80an. Bagaimana dengan Azmin Ali? Bagi aku Azmin adalah kawan rapat dan juga kawan seperjuangan walaupun Azmin tidak tergolong dalam Kumpulan University Malaya tahun 1970an.
Soalan belum berjawab juga. Mengapa mereka meninggalkan Anwar?
Adakah Kumpulan 80an tidak mempunyai semangat perjuangan?. Jangan cakap begitu.  Mereka adalah orang-orang perjuangan. Aku tahu mereka ni. Mereka sanggup dipenjarakan pada tahu 1998, kerana Anwar Ibrahim  Apakah itu bukan pejuang namanya?
Mari kita tinjau apakah sebab mereka meninggalkan Anwar Ibrahim? Dalam buku berjodol, “Mengapa kami tinggalkan Anwar” dinyatakan sebab mereka meninggalkan Anwar “……..bukan kerana kepentingan politik, jauh sekali kerana kepentingan peribadi, sebaliknya atas dasar kebenaran dan tidak mahu bersekongkol dengan seorang individu yang mereka sifatkan mempunyai masalah dalam segala segi”
Kita menghormati pandangan mereka. Bagi aku disinilah letaknya perbezaan nilai dari segi bagaimana kami Kumpulan 70an ( Kumpulan Kawan Rapat dan Kawan Seperjuangan ) dengan Kumpulan 80an  ( Kawan rapat tetapi bukan kawan seperjuangan).  Hampir tidak ada  Kumpulan 70an yang meninggalkan Anwar kecuali  Saudara Ismail Mina. Yang aku tahu ler. Mungkin ada lagi. Tolong bantu dengan memberikan aku fakta tambahan. Kami tetap bersama Anwar dalam keadaan susah dan senang. Antara kami sering berbeza pendapat tetapi tidak pula membawa kepada perpecahan.
Alasan yang dikemukakan oleh mereka ( Kumpulan 80an) mengapa mereka meninggalkan Anwar bolehlah dipertikaikan. Tetapi bagi aku itu memerlukan forum lain. Yang ditanyakan selalu pada aku ialah mengapa ramai kawan rapat  Anwar meninggalkan dia. Dan aku dah jawab dah. Tapi kalau tanya aku lagi, jawapan yang aku berikan tentulah dalam loghat Perak…” mana aku nak muatnya.. dema dah tak ndak….”
Kini Anwar masih diperlukan. Walaupun ada yang meninggalkannya tetapi ramai yang menyertai perjuangannya. Anwar pernah dihina tetapi rakyat masih simpati dan menyayanginya. Dunia mengiktiraf kehebatannya. Tidak ada lagi anak Malaysia sehebat Anwar di mata dunia antarabangsa. Tanyalah sesiapa pun yang mengetahui perkembangan dirinya. Kita akan kehialngan sebutir intan sekiranya tidak digilap dan diletakkan di tempat yang sewajarnya.
Untuk meneruskan perjuangannya, masih ramai ‘orang lama’ yang terus menerus bersama Anwar disamping jutaan rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan kepada perjuangan beliau. Anwar tahu. ‘Orang Lama’ ini berda di mana-mana. Di lembah…di paya….di hutan….di rimba…malah  kumpulan ini boleh bersepak terajang di New York atau di London atau di Tokyo atau dimana-mana saja.. Kumpulan 70an ini boleh direbus dan boleh dibakar, namun perjuanganya tetap memperjuangkan ‘ the consience of the majority’ sebagaimana yang dilaungkan oleh Anwar pada tahuun-tahun 70an dulu.
Itulah semangat perjuangan kerabat 70an…
Abuhassanadam
26 April 2013

1 comment: