Friday, April 5, 2013

BARISAN NASIONAL MASIH DI TAKUK LAMA


BARISAN NASIONAL MASIH  DI TAKUK LAMA

Aku agak lama juga berada dalam politik tanah air. Tapi tak aktif. Tengok dan lihat saja. Kalau orang tanya pendapat tentang sesuatu perkara, sampaikan dengan ikhlas. Kadang-kadang tak betul juga. Namanya lagi pendapat. Tentulah ada pro dan konnya.

Pilihanraya Umum ke 13 di Malaysia menampakkan satu kelainan. Lain dari yang lain. Aku dah tengok PRU semenjak PRU 1 lagi ia itu pada tahun 1955. Masa itu aku tak tahu apa-apa mengenai pilihanraya. Yang aku ingat aku suka kepada lagu ‘ Undilah tuan-tuan dan puan…..Dua puluh tujuh haribulan…..” PRU 1 dilangsungkan pada 27 hb Julai 1955. Sepupu aku lahir pada tarikh berkenaan. Opah aku beri namanya “NGUNDI”. Nama sebenarnya Abdul Rahman. Sampai sekarang kami panggil dia “Ngundi”. Dia pun nampaknya sukakan nama itu. ‘ Nationalistic’ betul Opah dan Atuk aku!...

Cerita mengenai ‘Ngundi’ hanya pengenalan saja. Yang aku nak cerita pada kali ini ialah tentang begitu banyak perubahan dan ‘innovation’ yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Lain dari yang lain. Samada PAS, DAP ataupun Keadilan mengemukakan sesuatu yang luar biasa. Menyimpang dari keadaan biasa. Melakukan ‘paradigm shift’ kata orang putih. Orang Melayu kata anjakan paradigma. Tak tahu ler aku betul ke tak betul apa yang aku kata tu. Aku dengar orang bijak pandai kata macam tu ler. Aku ikut je…

 Banyak betul perubahan yang dilakukan Pakatan rakyat. Misalnya,

·      PAS telah mencadangkan Aisyah (penyanyi terkenal ) sebagai calon di sebuah kawasan di Negeri Sembilan. Pada aku ini luar biasa ‘keberanian’ yang ditunjukkan oleh PAS. Pasti membuka mata masyarakat. Seeingat aku tak pernah lagi berlaku seorang penyanyi menjadi calon. Perempuan pulak tu. Di Amerika Syarikat  lain ler. Ronal Reagen bukan saja jadi wakil rakyat, tapi jadi Presiden. Begitu juga di India, bintang filem jadi calon pilihanraya menjadi perkara biasa. Tapi di Malaysia bukan perkara biasa. Luar biasa. Sebab itulah agaknya Dr. Raja Nazerin ( Raja Muda Perak) dalam satu ucapannya pernah mengatakan bahawa PAS berada dalam tahap keyakinan yang amat tinggi.
·      PAS juga meletakkan calon bukan Islam sebagai calon PRU 13. Ini juga merupakan satu ‘ keberanian’ luar biasa.. Dengan berbuat demikian tentunya akan meranapkan tohmahan setengah pihak yang mengatakan PAS anti Islam., anti bukan Melayu. Dan yang jelasnya ialah sesiapa yang sentiasa megaitkan PAS dengan Hudud ( dalam suasana yang menakut-nakutkan bukan Islam) akan ‘terkedu’ dengan sendirinya.
·      DAP pula awal-awal lagi telah mengisytiharkan yang YB Lim Kit Siang akan berpindah bertanding di Gelang Patah Johor. Bagi YB LKS ini merupakan perkara biasa baginya. Sememangnya amalannya berpindah kawasan bertanding. Tapi kali ini perpindahannya akan memberikan satu impak yang besar. Matlamat Pakatan Rakyat adalah lebih jauh dalam politik. Untuk menawan negeri Johor. Apatah lagi apabila melihatkan PAS juga menghantar YB Sallehuddin untuk bertanding di Johor.
·      Kepimpinan innovatif DS Anwar Ibrahim yang disertai pula dengan beberapa orang pemimpin muda seperti Rafizi, Nurul Izzah dan Surendran telah menampakkan parti Keadilan Rakyat sebagai sebuah parti yang amat matang dan dewasa pada mata kacamata masyarakat di Malaysia khususnya dan di mata dunia umumnya. Beberapa pembaharuan dan tindakan yang ajukan oleh mereka amat meyakinkan rakyat bahwa segala cadangan yang dikemukakan oleh mereka dipasak dengan alasan-alasan yang konkrit yang amat payah untuk dipertikaikan.

Dengan sendirinya, apabila begitu banyak perubahan-perubahan yang dikemukakan oleh parti-parti yang menganggotai Pakatan Rakyat telah menampakkan yang Baraisan Nasional amat kekurangan idea. Dan seolah-olah Barisan Nasional terpaksa bertindak secara defensif terhadap ‘ onslaught’ yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Seolah-olah Barisan Nasional kekeringan idea. Seolah-olah Barisan Nasionl tidak memiliki personaliti yang boleh jadi pemikir-pemikir yang boleh merangka dan melagang masa hadapan Barisan Nasional. Seolah-olah Barisan Nasional masih berada di takuk lama juga.

Pakatan Rakyat sudah lama menegemukakan manifestonya. Sudah dibincang dan diperhalusi oleh masyarakat sedangkan Barisan Nasional masih terkial-kial untuk mengemukakan manifestonya. Dan seolah-olah rakyat tidak begitu endah kepada manifesto yang akan dikemukakan. Seolah-olah rakyat sudah dapat mengagak bahawa tidak akan terdapat sesuatu yang baru dan innovatif yang akan dikemukakan oleh manifesto berkenaan bagi memacu negara menembusi Kurun ke 21.

Barisan Nasional juga belum lagi mengemukakan senarai calon-calonnya sedangkan Pakatan Rakyat sudah hampir selesai dengan pembahagian kawasan untuk calon-calonnya. Mungkin tindakan Barisan Nasiona sedemikian adalah sebahagian daripada strateginya menghadapi PRU 13. Mungkin. Tetapi masyarakat sudah mula membuat berbagai andaian tentang keadaan ini. Rakyat sudah mula membuat berbagai andaian tentang keadaan itu.

Ada yang mengatakan bahawa kepimpinan Barisan Nasional amat bimbang dengan ‘ musuh dalam selimut’. Maknanya mereka takut kepada sesiapa saja yang tidak terpilih menjadi calon dan ekorannya akan mensabotaj parti. Ini yang amat ditakuti oleh Barisan Nasional. Lantas mereka melambat-lambatkan penamaan calon.

Ada juga terdengar desas-desus yang mengatakan bahawa kepimpinan Barisan Nasional amat takut membuat keputusan. Walaupun mereka sering memperkatakan mengenai ‘ winable candidate’ namun terlalu sukar bagi mereka untuk mencari calon-calon yang berstatus demikian. Mereka takut kepada bayang-bayang. Sekali pandang Barisan Nasional sudah menampakkan mereka sebagai ‘ under dogs’ dalam PRU 13.

Rakyat bandar yang terpelajar nampaknya sudah hilang keyakinan kepada kemampuan Barisan Nasional untuk terus memerintah negara selepas PRU 13. Bagi mereka Barisan Nasional masih berada di takuk lama. Pi Mai, Pi Mai Tang Tu jugak.

Abuhassanadam
5 April 2013

1 comment:

  1. BN memang dah lama kehilangan modal. Apatah lagi ketuanya yang diragu ragu moral and kebolehan. Dan parti yang sudah hilang arah. Kita tunggu saja keputusan PRU 13. Apakah BN ditolak rakyat sebulat bulat?

    Tuan, lain kali tolong masukkan alamat penuh nama blog tuan begini :- http://abuhassanadam.blogspot.com apabila menyebut blog tuan didalam MC. Kalau tidak, sia sia saja kerana bila pembaca MC klik link, tidak sampai blog tuan

    ReplyDelete