Friday, April 26, 2013

HABISLAH ORANG MELAYU......


HABISLAH ORANG MELAYU….

Aku tak berapa hairan kalau yang melafazkan kenyataan itu pemimpin UMNO yang sudah hampir ‘ tarikh luput’nya. Kenyataan sedemikianlah yang selalu dimainkan oleh mereka untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya terus menerus boleh diperbodohkan, ‘ditongongkan’ dan ‘ditenginkan”. Orang Melayu yang cerdik sudah tidak boleh ‘dipergunakan’ oleh mereka dengan kenyata sedemikian.

Namun begitu masih ada ‘orang cerdik’ dari bandar yang menggunakan kenyataan itu untuk ‘menakutkan’ aku. Orang muda. Boleh juga dipanggil golongan intelek yang baru sahaja lulus dari sebuah universiti awam. Agaknya baru lepas menerima ‘taklimat’ dari Biro Tatanegara. Bersungguh benar dia memberitahu aku bahawa sekiranya negara ini terlepas dari tangan BN-UMNO, ‘ orang Melayu habislah………..’ katanya.

Malas aku nak menjawab ataupun nak memberikan ‘response’ kepada kenyataanya itu. Bagi aku orang muda sebegini sudah tidak layak berada pada kurun ini – kurun ke 21 yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini. Aku amat sedih memikirkan masih ada anak muda yang sebegitu sempit cara berfikirnya. Dan yang paling menyedihkan aku lagi ialah anak muda ini adalah anak kawan aku juga. Bapaknya sama-sama dengan aku di University Malaya pada awal 70an dulu. Sama-sama ‘lepak’ depan ‘Speakers Corner’ mendengar ‘ucapan’ Anwar Ibrahim. Malangnya si anak tidak sehebat bapa dari segi keupayaan berfikirnya.

Jikalau ditinjau dari segi semangat memperjuangkan orang Melayu sememangnya hebat, tetapi dari segi berfikiran secara rasional amat jauh ketinggalannya.

Bagi aku kenyataan, ‘ habislah orang Melayu sekiranya BN-UMNO tewas dalam PRU 13…..memberikan banyak tafsiran dan makna….

·      Menunjukkan orang Melayu masih lagi lemah, letih dan longlai seperti orang Melayu yang diceritakan oleh Frank Swetenham pada tahun 1890an apabila beliau menjelaskan mengenai sifat orang Melayu yang malas, suka bermenung, sukakan hiburan, suka menjaga tepi kain orang dan lain-lain….
·      Menunjukkan orang Melayu masih memerlukan perlindungan dari pihak kerajaan untuk membolehkan dia bergerak maju. Seolah-olah sekiranya UMNO-BN tewas maka akan hilanglah ‘tongkat’ sebagai tempat untuk bergantung. Orang Melayu akan menjadi mundur semundurnya.
·      Menunjukkan orang Melayu tidak mampu untuk bersaing dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Orang Melayu sentiasa melihat yang kaum lain itu ( Cina, India ) jauh lebih hebat dari orang Melayu sendiri. Lantas orang Melayu merasakan tak perlu bertanding. Mesti kalah punya…… Kekalkan saja tongkat yang ada dan ‘rileks’….
·      Menunjukkan orang Melayu kini berbeza dengan orang Melayu sebelum merdeka. Walaupun kebanyakan orang Melayu ketika itu merupakan orang Melayu yang lemah, namun telah muncul juga orang Melayu yang ‘berani’. Pelajar-pelajar Melayu yang belajar di sekolah-sekolah Inggeris melalui Special Malay Class adalah antara golongan yang berani dan cekal. Kumpulan pelajar ini hanya mengambil masa tiga tahun sahaja untuk mendudukki ‘peperiksaan Entrance Examination’ berbanding dengan pelajar lain yang mengambil masa enam tahun sebelum memasukki peperiksaan berkenaan. Dan yang hebatnya ialah ada diantara anak Melayu pada ketika itu yang menduduki tempat teratas walaupun  dalam keadaan sedemikian.
·      Menunjukkan orang Melayu boleh bersaing sekiranya diberikan peluang dan diberikan galakan. Walau apapun hujjahnya, anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris pada ketika itu adalah dalam keadaan yang cukup daif berbanding dengan anak-anak kaum lain terutama anak Cina. Apa tidaknya. Rata-rata anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris pada ketiak itu datang dari kampung ( yang jauh dipendalaman – tanpa jalan raya, tanpa tenaga letrik, tanpa air bersih dan berbagai ‘ tanpa’ lagi) dengan berbagai kekurangan ( yang amat sukar untuk dijelaskan kepada anak-anak kini tentang makna ‘kesusahan pada waktu itu). Terpaksa bersaing dengan kaum lain yang tinggal di bandar yang memiliki berbagai kemudahan seperti buku, kelas tuysen. Namun ramai juga anak Melayu yang berjaya melepasi segala ujian yang dilalui. Kadang-kadang dengan cemerlang pula.

Jikalau anak Melayu pada zaman penjajahan boleh bersaing dengan anak-anak kaum lain, maka apakah ‘penyakit’ yang ada dikalangan anak muda Melayu sekarang yang menyebabkan mereka terlalu takut untuk bersaing. Seolah-olah merupakan satu phobia dikalangan setengah orang Melayu kini yang amat takut tentang kehilangan ketuanan Melayu. Yang menyedihkan kita ialah ada antara orang Melayu yang kehidupannya merempat di kampung-kampung yang masih takut hilang ketuanan Melayu. Sedihnya aku melihatkan terkebelakangnya pemikiran setengah bangsaku.

Kini masih ada lagi anak muda yang terpelajar masih ‘menangis teresak-esak’ mengenangkan apa akan terjadi kepada orang Melayu sekiranya BN_UMNO kalah dalam PRU 13. Bagi aku bukan masanya lagi orang Melayu merintih, menangis, mendayu-dayu di bawah pohon kelapa mengenangkan nasib yang ditimpa malang. Zaman menangisi ‘ Anak-anak bermain api’ sudah tamat masanya.

Keadaan yang ada sekarang ialah sepertimana keadaa yang dihadapi oleh Kaum Muda untuk menyedarkan orang Melayu pada awal Kurun ke 19. Amat sukar bagi Kaum Muda untuk memajukan pemikiran orang Melayu pada ketiak itu dek kerana ada pula tentangan yang dijalankan oleh kaum tua. Pada ketika itu memang Kaum Tua menggunakan ‘fear paradigm’ dengan menakut-nakutkan orang Melayu. Tetapi Kaum Muda menakutkan orang Melayu dengan mengatakan orang Melayu akan hancur dan mundur sekiranya tidak mempunyai pelajaran dan akan terus berada dalam keadaan kemiskinan. Mereka menggalakkkan orang Melayu pada ketika itu supaya maju berlandaskan ajaran Islam dan Al-Quran yang sebenarnnya. Disamping itu Kaum Tua juga tidak kurang juga hebatnya menghalang kegiatan Kaum Muda. Berbagai undang-undang dan halangan dikenakan oleh pemerintah negeri pulak bagi menghalang kegiatan Kaum Muda.

Sepatutnya anak muda pada abad ke 21 berfikiran positif dan terbuka dan bersedia untuk menghadapi apa saja cabaran yang dihadapinya. Janganlah ada lagi anak muda Melayu yang berfikiran ‘pengecut’, jumud, lemah, longlai sepertimana yang digambarkan oleh Frank Swettenham dulu.

Melayu kini bukan seperti Melayu Kurun ke 18 seperti yang digambarkan oleh Abdullah Munshi itu. Melayu Kurun ke 21 bukan juga seperti Melayu yang digambarkan  oleh R.O. Winsted dalam kebanyakan bukunya mengenai orang Melayu.

Melayu Kurun ke 21 sanggup untuk berdepan dengan siapa sahaja tanpa ada pertolongan daripada mana-mana pihak. Melayu Kurun ke 21 mampu berdikari dan mampu menyahut apa juga cabaran.

Abuhassanadam
26 April 2013

No comments:

Post a Comment