Thursday, April 11, 2013

PENERUSAN BUDAYA CANTAS MENCANTAS


PENERUSAN BUDAYA CANTAS MENCATAS - LANJUTAN CERITA SINGAPURA DILANGGAR TODAK

Anak-anak muda kini mungkin ada mendengar ungkapan “Singapura dilanggar todak’ tetapi tak tahu apa biji buahnya dan pengajaran daripada peristiwa itu.  Ahli sejarah ‘orang putih’ kata ini cerita dongeng kerana tidak disokong denga fakta sejarah yang konkrit. Tak usah kiralah. Bukanlah tujuan aku nak membahaskan samada ini cerita sejarah ke bukan. Yang penting peristiwa ini boleh dijadikan teladan dan pengajaran pada anak-anak. Aku nak bagi tahu pada anak-anak, orang muda yang tak pernah mendengar cerita berkenaan.

Abdul Latip Talib dalam bukunya, “ Setelah roboh Kota Melaka’ bercerita,

“ Kejadian itu berlaku selepas Paduka Seri Maharaja yang memerintah Singapura ketika itu membunuh seorang ulama dari Pasai bernama Tuan Jana Khatib. Puncanya begini, pada suatu hari, sedang Paduka Seri Maharaja duduk berehat di beranda istananya, lalu seorang ulama bernama Tuan Jana Khatib. Kebetulan di hadapan istana itu ada sebatang pokok pinang. Ulama dari Pasai itu merenung ke arah batang pinang, lalu batang pinang itu terbelah dua. Paduka Seri Maharaja menyangka Tuan jana Khatib senagaja menunjuk kehandalannya. Akibatnya ulama itu ditangkap lalu dijatuhkan hukuman bunuh. Tidak lama selepas itu , Singapura dilanggar ikan todak. Akibatnya ramai yang terbunuh dan cedera.

Bagi menghapuskan ikan todak itu, pada mula Paduka Seri Maharaja memerintahkan rakyat berdiri di tepi pantai hanya berkubukan betis. Akibatnya ramai yang terbunuh dan cedera ditikam oleh ikan todak itu. Akhirnya datang seorang budak (Hang Nadim namanya) menyuruh berkubukan batang pisang. Apabila ikan todak menyerang, mulutnya yang runcing itu terlekat kepada batang pisang. Dengan ini, barulah ikan todak itu dapat dibunuh.

Singapura diselamatkan oleh seorang budak tetapi budak yang cerdik itu dibunuh oleh sultan kerana bimbang apabila sudah besar kelak budak itu merampas takhta. Tetapi akhirnya Paduka Seri Maharaja insaf di atas kesilapannya.”

Terlalu banyak pengajaran yang boleh kiambil daripada peristiwa Singapura dilanggar todak itu. Tetapi yang aku nak petik daripada peristiwa ini ialah kisah pembunuhan dua manusia pintar. Tuan Jana Khatib dan Hang Nadim. Tuan Jana Khatib dibunuh kerana disyakki menunjuk-nunjuk akan kebolehannya dihadapan sultan. Hang Nadim juga dibunuh kerana kecerdikannya, memberikan idea bagaimananak menyelamatkan Singapura daripada terus menerus dilanggar todak yang menyebabkan begitu ramai rakyat Singapura terkorban kerana serangan todak. “Budak yang cerdik itu dibunuh oleh sultan kerana bimbang apabila sudah besar kelak budak itu merampas takhta”

Peristiwa ini mengingatkan aku tentang kenyataan DS Anwar Ibrahim yang mengatakan ada  usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengalahkan tiga orang calon muda dalam PRU 13. Mereka yang disebut-sebut ialah Nurul Izzah, Rafizi Ramli dan Tony Pua. Tidaklah pula aku tahu mengapa yang pihak kepimpinan BN bersungguh-sungguh benar berhasrat ‘membunuh’ kerjaya ketiga-tiga orang anak muda ini. Mungkin agaknya kepimpinan BN  memikirkan  sbagaimana yang difikirkan oleh pemerintah Singapura dulu. “……budak yang cerdik itu dibunuh oleh sultan kerana bimbang apabila sudah besar kelak budak itu merampas takhta”

Setahu aku mereka adalah merupakan ‘Hang Nadim” modern yang banyak memberikan idea-idea bagaimana memajukan rakyat dalam negara yang penuh kemewahan ini. Mereka adalah anak muda yang merupakan think-tank dalam Pakatan Rakyat yang memberikan segala idea ke arah pembangunan Pakatan Rakyat.

Sebagaimana umum sedia maklum bahawa Rafizilah yang mendedahkan kisah pinjaman wang untuk menternak lembu yang kononnya diusahakan oleh keluarga  Shahrizat Jalil yang melibatkan sejumlah wang yang besar berjumlah 250 juta ringgit. Rafizi juga telah mendedahkan kisah bagaima ketua Wanita UMNO Selangor yang berjaya memperolehi tanah yang begitu luas di selangor melalui cara yang tidak betul dengan ikhsan kerajaan Selangor terdahulu dibawah Barisan Nasional.

Apakah tindakan BN untuk berusaha sedaya upaya untuk mengalahkan tokoh-tokoh muda ini sebagai tindak belas dan dendam terhadap pendedahan perkara di atas?

Ataupun mungkinkah  para pemimpin BN kini adalah sama sikap mereka dengan sikap Paduka Seri maharaja, pemerintah Singapura yang tidak mahu melihat orang yang lebih cerdik dan pandai daripadanya. Tidak mahu anak muda yang cerdik pandai mengatasi kebolehan mereka yang tidak berapa cerdik.

Budaya cantas mencantas sememangnya telah lama diamalkan oleh UMNO. Antara punca UMNO yang ketandusan pemimpin yang berkeliber berpunca daripada tindakan cantas mencantaslah. Aku masih ingat bagaimana ramai kawan-kawan aku ‘dicantas ketika baru berura-ura nak menjadi ahli UMNO pada tahun-tahun 1970an. Pada ketika itu memang ramai golongan bijak pandai ( kononnya. Bila dah lulus university tu pandai juga ler )  yang ingin bersama-sama memajukan negara melalui penyertaan dalam parti UMNO. Malangnya ramai pemimpin UMNO yang merasa cemburu dan iri hati dengan kemasukan golongan ini. Lantas mereka dicantas atau dihalang kemasukan mereka. Justeru ramai rakan-rakan yang mengambil sikap ‘melupakan’ hasrat untuk menjadi ahli UMNO.

Rupa-rupanya sikap sedemikian masih berterusan diamalkan sehingga kini. Apakah sikap sedemikian akan berterusan sehingga tidak terjumpa titik noktahnya. Aku harap tidak begitu. Sebagaimana Paduka Seri Maharaja yang insaf diatas kesilapannya, diharapkan para pemimpin yang ingin meneruskan tindakan cantas mencantas itu juga akan sedar akan kesilapannya.

Abuhassanadam
12 April 2013

No comments:

Post a Comment