KAMALIAH IBRAHIM DI ANIAYA
Aku
kenal Kamaliah Ibrahim. Tapi Kamaliah tak kenal aku. Kamaliah anak Cikgu
Ibrahim. Cikgu masa sekolah rendah dulu di Malay Boys School, Padang Rengas,
Perak. Aku sayang dan kasih pada Cikgu Ibrahim Abdullah. Cikgu yang mendidik
aku. Bagi orang tua-tua seperti aku, sayang kepada guru adalah luar biasa.
Sekarang mungkin berbeza. Agak aku begitu ler. Aku tengok kebanyakan orang muda
sekarang tidak menghormati sangat guru-guru mereka sepertimmana kami orang tua-tua menghormati guru
kami.
Kamaliah
macam adik aku sebab dia anak Cikgu Ibrahim. Cikgu Ibrahim tu Cikgu aku dan
macam bapak aku juga. Jadi apa yang berlaku pada Kamaliah aku terasa. Macam
cubit peha kiri peha kanan sakit. Kalau Cikgu Ibrahim masih ada, tentu arwah
sedih melihatkan anaknya dibuat begitu oleh kepimpinan UMNO. Apatah lagi Cikgu
Ibrahim adalah orang kuat UMNO. Pejuang UMNO. Dan kalau Cikgu Ibrahim sedih
maka aku dan anak murid yang lain turut juga merasa sedih kerana ‘adik’ kami
Kamaliah dihina sebegitu. Kami panas……
Sebelum
aku mengulas isu politik semasa yang ada kaitannya dengan Kamaliah, aku nak
cerita mengenai hubungan Cikgu zaman dulu dengan anak muridnya. Kami sangat
terhutang budi pada mereka. Bukan setakat cakap di mulut. Terhutang budi
sungguh. Nama Cikgu Samad Kulup Seman, Cikgu Yunus Shamsuddin sentiasa bermain
dibir aku sehingga kini. Tak pernah lupa. Serupa jugalah dengan Cikgu Ibrahim
Abdullah. Dan mereka juga ( kini semuanya sudah menjadi arwah dan semoga Allah
mencucuri rahmat ke atas roh mereka) sentiasa ingat kepada anak muridnya.
Satu
peristiwa menyayat hati aku berlaku ketika aku bertugas di London. Pada suatu
hari Cikgu Ibrahim Abdullah datang ke pejabat aku kerana nak berjumpa sangat
dengan aku. Olehkerana arwah tidak memberitahu aku tentang kedatangannya, aku tak
tahu yang dia nak datang. Dan aku tidak ada di pejabat. Berada di Glasgow.
Pembantu aku memberitahu aku kemudiannya bahawa “ Cikgu Ibrahim hampa betul
nampaknya kerana tak dapat berjumpa….” Diceritakan juga bahawa oleh kerana tak dapat
berjumpa dengan aku, dia bergambar depan tulisan yang tertulis nama aku di luar
pintu. Lantas dia menceritakan kepada pembantu aku tentang diri aku semasa
kecil, masa di sekolah Rendah.Tentulah yang baik-baik saja agaknya……
Jadi
apabila aku terbaca tentang kisah sedih yang menimpa Kamaliah, aku terusik
dengan berita itu. Terus terpancut keluar perkataan ‘ zalim’ dari mulut aku.
Apa salah dia sehingga diperlakukan begitu? Setahu aku Kamaliah tidak
menimbulkan kontroversi yang menyebabkan UMNO tergugat. Cuma yang pernah aku
ingat bahawa Kamaliah mempersoalkan mengenai Shahrizat yang berkaitan dengan
‘lembu’. Maknanya apa yang dilakukan oleh Shahrizat itu ‘morally wrong’
walaupun kononnya ‘ legally right’ dimata UMNO.
Kamaliah
pernah tegur berkenaan dengan ‘Lembu’ Shahrizat. Timbul persoalan di kepala
aku. Apakah parti UMNO merupakan parti
yang tak boleh ditegur dan tak boleh dilarang (
tajuk lagu R. Azmi – tahun 1950an). Apakah parti ini semuanya perfect
dan betul belaka sehinggakan tak boleh dilontarkan pandangan. Dan mungkinkah
disebabkan dia menyuarakan pendapat sedemikian maka beliau dinafikan peluangnya
bertanding dalam PRU 13.
Aku tak tahu apa ‘dosa’ Kamaliah. Setahu aku dia tak melakukan ‘dosa’
besar dalam parti. Seingat aku ler….
Kuala
Kangsar memang sesuai dengan Kamaliah sebagai calon PRU 13. Anak tempatan yang
tahu hal ehwal kawasan ini. Berbanding dengan DS Rafidah Aziz, Kamaliah lagi
‘pekat’ Kuala Kangsarnya. Dan secara kebetulan pula, DS Rafidah telah
mengundurkan diri dari bertanding. Berlaku kekosongan. Dan sewajarnyalah
Kamaliah mengisi kekosongan itu. Wakil Wanita UMNO. Bukan ahli biasa tetapi
Timbalan Ketua Wanita UMNO Malaysia. Anak tempatan. Professional ( peguam). Apa
lagi kriteria yang diperlukan darinya. Semuanya lengkap. Semua dimilikinya. Dan
beliau telah begitu sabar menunggu begitu lama. Akhirnya beliau tidak diberikan
peluang. Itu yang aku katakan yang beliau teraniaya.
Yang
aku hairan juga ialah apakah kepimpinan BN ( UMNO) tidak nampak kesan yang akan
menimpa BN dalam PRU 13 nanti kesan daripada tindakan mereka yang sebegini.
Mengenepikan Kamaliah dan beberapa orang pemimpin wanita yang lain dari
beberapa negeri lain. Umum tahu bahawa wanita UMNO amat berperanan dalam setiap
pilihanraya yang diadakan. Dan Wanitalah yang
memainkan peranan penting memenangkan calon BN yang betanding. Ini
hakikat. Dan amat ditakuti oleh pihak lawan. Pihak lawan hanya memandang
sebelah mata kepada Puteri UMNO kerana peranannya tidak sehebat peranan Wanita
UMNO.
Apabila
Kamaliah mengalami nasib malang sebegini, tidak pula aku nampak suara dari ahli
Wanita UMNO yang membela dan mepersoalkan kewajaran tindakan kepimpinan UMNO.
Semua nya senyap. Sepi sesepinya.
Seolah-olah kesemuanya bertindak menyelamatkan diri. Tidak ada suara samada
dari Ketua Wanita dari negeri-negeri atau dari kalangan ahli exco Wanita UMNO.
Mungkin ada. Aku yang tak tahu dan tak dengar.
Tapi
sebenarnya ini perkara biasa dalam UMNO. Seperti enau dalam belukar.
Masing-masing nak melepaskan pucuk sendiri. Yang penting menyelamatkan diri dan
‘perut’. Aku pernah melihat sendiri, depan mata’ bagaimana DS Anwar Ibrahim
dianiaya pada tahun 1998 dahulu. Aku masih nampak ‘tokoh-tokoh’ yang
berpura-pura datang ke rumah Anwar
Ibrahim ketika beliau dianiaya. Hanya satu malam. Aku masih ingat ‘tokoh’ yang
mengimamkan sembahayang hajat pada hari DS Anwar Ibrahim dipecat. Aku masih
nampak muka beberapa pemimpin UMNO yang datang menghulurkan ‘simpati’….konon !.Lepas
itu senyap dan hilang entah ke mana. Aku tak mahu sebut nama tokoh-tokoh
berkenaan. Aku tak mahu merosakkan periuk nasi mereka. Tapi aku tahu.
Peristiwa
Anwar Ibrahim teraniaya banyak memberikan pengajaran kepada aku dan kawan-kawan
lain yang cuba mengerti erti hidup. Betul kata peribahasa Melayu, “ kawan
ketawa ramai dan kawan menangis keseorangan”. Betul dan tepat. Amat tepat.
“kawan’ yang bersungguh-sungguh mengakui Anwar sebagai kawan rapat itulah kini
menjauhkan diri dari beliau. Dan mengutuk beliau……….
Kamaliah
boleh belajar dari peristiwa itu……
Abuhassanadam
19
April 2013
an honest view! awesome!
ReplyDeletePolitik ini macam lampu suluh. panjang cahayanya, depan cerah.. makin lama makin suram. Nampaknya Wanita UMNO tak serasi dengan lawyer.. elok pensyarah lagi..
ReplyDelete