KONON PARTI MELAYU, NAMUN TANAH REZAB MELAYU TERLEPAS
Jika
dibandingkan dengan zaman lampau, nampak jelas Barisan Nasional dan UMNO
mengahadapi zaman yang amat sukar untuk mempengaruhi pengundi dalam PRU 13
nanti. Banyak sebab yang menjadikan keadaan demikian. Antara sebab yang
menyebabkan kesukaran itu ialah adanya media baru yang memberikan maklumat
terkini dalam masa yang begitu pantas dan juga peningkatan cara masyarakat
berfikir. Ringkasnya rakyat tidak lagi bodoh sebagaimana yang difikir dan
dijangkakan oleh setengah orang.
Masyarakat
Malaysia terlalu takut akan hantu. Oleh itu beberapa jenis ‘ hantu’ telah disediakan untuk menakutkan
masyarakat Malaysia menjelang sesuatu pilihanraya bermula daripada pilihanraya
pertama pada tahun 1955 sehinggalah menjelang PRU 13. Antara ‘ hantu-hantu ‘
yang paling popular yang sentiasa dieksploitasi oleh pihak Perikatan dan
Barisan Nasional semenjak dari dahulu lagi ialah,
·
Dalam pilihanraya pertama tahun 1955,
masyarakat Tanah Melayu khususnya orang Melayu di kampung-kampung sentiasa ditakutkan
dengan ‘ zaman pemerintahan Jepun’. Pemikiran orang Melayu pada ketika itu dipantak
dengan ketakutan akan kembalinya ‘ zaman Jepun’ sekiranya mengundi parti lain
daripada parti Perikatan. Orang Melayu yang mengalami zaman pemerintahan Jepun
amat takut dengan keadaan kesusahan dan penderitaan sedemikian. Lantas ‘ hantu’
yang disogokkan ialah ‘ Zaman Pemerintahan Jepun’.Mungkin juga masyarakat Cina
terpengaruh dengan dakyah ini kerana dalam zaman pemerintahan Jepun di Malaya,
orang Cina banyak yang tertindas dan tersiksa.
·
Hantu ‘ Zaman Pemerintahan Jepun’ terus
menerus dipantakkan ke dalam pemikiran masyarakat Melayu buat beberapa ketika
sehinggalah ‘lesap’nya generasi yang pernah mengalami zaman pemerintahan Jepun.
Maknanya pada PRU 9 isu ‘ Zaman Jepun’ sudah mula beransur-ansur lenyap.
Gantinya ialah hantu baru ia itu ‘ Zaman Pengganas Komunis”. Amat berkesan.
Orang Melayu ditakutkan dengan keadaan zaman Komunis. Sekiranya PKM berkuasa,
maka orang Cina akan menguasai Tanah Melayu disebabkan kebanyakan ahli PKM
adalah terdiri daripada orang Cina. Sekali lagi orang Melayu berduyun-duyun
menyokong parti Barisan Nasional. Sehingga kini filem ‘ Bukit Kepong’ akan ditayangkan kepada umum melalui TV
saluran kerajaan, setiap kali menjelangnya pilihanraya umum.
·
Menjelang PRU 13, filem ‘Bukit Kepung’
mungkin tidak begitu berkesan kepada generasi muda. Mungkin. Ini disebabkan
terlalu sedikit masyarakat Malaysia kini yang mengalami zaman Dharurat di mana
pengganas Komunis mengganas. Mungkin bagi anak muda kini filem “ Bukit Kepung ‘
dengan pembikinan yang sudah ‘out of date’ tidak menarik minat mereka. Maka
kini ‘ hantu’ yang masih boleh disogokkan kepada umum ialah ‘hantu’ Peristiwa
13 Mei 1969.Dan sudah sediapun filem yang memaparkan peristiwa 13 Mei 1969 yang
hanya menunggu masa untuk ditayangkan kepada umum dengan harapan mungkin dapat
mempengaruhi masyarakat supaya terus mengekalkan keamanan yang sedia ada. Dan
supaya masyarakat jangan membuat perubahan, takut perubahan akan membawa kepada
berlakunya peristiwa seperti 13 Mei 1969 sekali lagi.
·
Anak muda mungkin tidak ‘mempedulikan’
Peristiwa 13 Mei itu. Generasi muda Malaysia kini sudah betul-betul merasakan
bahawa mereka adalah anak Malaysia tulin. Dan mereka merasakan bahawa peristiwa
seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 tidak akan mungkin berulang. Tidak
mungkin kerana kuat dan ikrabnya ikatan bangsa Malaysia yang dibentuk oleh
kerajaan kita melalui kegiatan perpaduan dan muhibbah.
·
Lantas segala usaha untuk ‘menakutkan’ anak
muda dengan mengemukakan ‘ hantu’ Peristiwa 13 Mei 1969 sudah tidak berhasil.
Samada orang Melayu ataupun bukan Melayu yakin bahawa isu itu tidak dapat
diterima oleh masyarakat Malaysia. Mungkin segelintir sahaja penduduk Malaysia
yang masih yakin yang isu itu boleh mempengaruhi pengundi.
·
Untuk menakutkan pengundi bukan Melayu pula supaya
terus menyokong parti pemerintah, MCA mengemukakan ‘ hantu’ yang bernama ‘ Hudud’. Walaupun sudah beribu kali
dijelaskan tentang hukum Hududu ini namun pihak MCA masih mengenengahkan isu
ini dengan harapan masyarakat bukan Islam akan berasa takut kepada ‘ hantu’ itu
sekiranya pihak pembangkang, khususnya PAS menguasai kerajaan pusat.
Persoalannya
kini ialah apakah generasi kini akan merasa takut dengan ‘ hantu-hantu’ itu?.
Mungkin ada yang masih takut dan gentar. Tetapi aku yakin kebanyakannya sudah
tidak mempedulikan ‘ hantu-hantu’ berkenaan. Malah aku yakin bahawa ‘ ketawa’
rakyat yang mentertawakan ‘hantu-hantu’ itu akan lebih kuat daripada ‘ ketawa
hantu-hantu’ berkenaan.
Rakyat
Malaysia sudah cerdik dan terdedah dengan berbagai-bagai maklumat. Mereka sudah
tahu yang selama ini mereka sudah ditipu dengan ‘hantu-hantu’ berkenaan. Bukan
itu sahaja, malah rakyat telah ditipu dan diputarbelitkan dengan berita-berita
yang mengelirukan sehingga ramai rakyat yang tidak mendapat berita yang sahih
dan tepat tetapi berita yang mengelirukan.
PRU
13 bukan sahaja akan menguji parti-parti politik yang bertanding tetapi akan
menguji kecerdasan dan kewarasan pemikiran rakyat Malaysia. Apakah rakyat
Malaysia, khususnya yang berada di luar bandar sudah betul-betul mengerti dan
faham tentang amalan demokrasi yang diamalkan ataupun masih ditakuk lama dengan
pemikiran lama yang jumud. Sama-sama kita lihat kesannya nanti.
Satu
perkara yang jelas pada ku ialah aku yakin masyarakat Malaysia kini sudah tidak
takut pada ‘ hantu-hantu’ yang diciptakan.
Abuhassanadam
2
April 2013
No comments:
Post a Comment