Monday, May 13, 2013

13 MEI 1969 - AKU BERADA DI SITU


13 MEI  1969 - AKU BERADA DI SITU

Secara kebetulan aku berada di rumah Eng Huat apabila tersebarnya berita pergaduhan Melayu-Cina di Kuala Lumpur. Walaupun antara Padang Rengas dengan Kuala Lumpur lebih kurang 200 km jauhnya, namun ‘bahang’nya pasti terasa. Walaupun tidak timbul apa-apa syak wasangka antara kami berdua namun berbagai persoalan menerpa juga benak aku. “Betul ke berlaku peristiwa pergaduhan Melayu-Cina tu?.’
“Apa sebabnya berlaku?’
“Mengapa dibiarkan berlaku?’

Macam-macam soalan menerpa. Mungkin Eng Huat juga berfikrian sedemikian. Antara kami berdua semacam tidak ada benteng yang boleh memisahkan kami berdua. Kawan sekolah. Berkawan semenjak dari kecil. Emak dan bapak dia pun baik dengan aku. Mereka tahu aku tak boleh makan babi. Pinggan dan mangkuk dirumahnya pun mereka tidak guna apabila menyediakan makanan untuk aku. Mereka tahu. Emak dia pun baik dengan emak aku. Emak dia panggil emak aku, “ Kak Midah’. Nama emak aku Hamidah ( arwah).

Bapak Eng Huat memberitahu aku supaya tidur saja di rumahnya malam itu. Tak usah pulang, katanya. Aku tahu dia bimbang sesuatu akan berlaku padaku. Aku tak pulak bimbang sebab aku tahu orang Cina tidak akan menimbulkan pergaduhan di Padang Rengas. Orang Melayu ramai. Aku pula bimbang kalau-kalau perkara yang tidak dingini berlaku pada keluarga Eng Huat. Manalah tahu kalau-kalau orang Padang Rengas mengamuk nanti.Aku bersetuju bermalam di rumah Eng Huat. Aku berjanji dengan diriku akan mempertahankan keluarga Eng Huat sekiranya apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku.

Sepanjang peristiwa hitam itu berlaku di Kuala Lumpur, Padang Rengas dalam keadaan damai dan tenang. Walaupun masing-masing sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga, namun pada keseluruhannya suasana tidak menimbulkan kegelisahan.

Peristiwa 13 Mei hanya berlaku tertumpu di Kuala Lumpu. Mengapa?

Betul agaknya analisis yang dibuat oleh kerajaan  yang mengatakan salah satu sebab yang menyebabkan berlakunya peritiwa pergaduhan Melayu-Cina adalah berpunca daripada kurangnya interaksi antara orang Melayu-Cina-India. Kurangnya perasaan faham-memahami antara satu dengan yang lain. Tidak terdedahnya satu-satu kaum itu mengenai cara hidup dan budaya kaum yang lain.

Pada pemerhatian aku, berlakunya pergaduhan Melayu-Cina pada tahun 1969 itu adalah berpunca dari banyak sebab. Yang aku rasa sebab penting yang menyebabkan berlakunya peristiwa hitam itu ialah kurangnya pengertian dan penghayatan tentang sejarah Malaysia terutama yang berkaitan dengan pakatan murni yang terjalin antara tiga kaum di Malaysia.

Ada tiga isu penting yang telah dipersetujui oleh tiga kaum terbesar di negara ini. Maknanya pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar telah mencapai kata sepakat tentang perkara-perkara yang rumit itu. Antaranya ialah,

·      Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
·      Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan
·      Kedudukan istemewa orang Melayu

Walaupun ramai kaum bukan Melayu yang tahu dan faham tentang syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itu namun masih ada juga lagi yang tidak begitu faham. Dan golongan inilah yang selalu mempersoalkna syarat-syarat berkenaan. Dan golongan ini jugalah yang banyak terlibat dalam konflik berkenaan.

Golongan yang tidak sensitif ini tidak faham tentang betapa sukarnya pemimpin terdahulu merangka satu perlembagaan yang boleh memuaskan hati semua kaum di Malaysia. Persoalan mengenai kerakyatan misalnya tentulah merupakan sesuatu yang cukup rumit untuk diselesaikan. Ini merupakan isu yang menyentuh perasaan hati dan sanubari orang Melayu. Isu kerakyatan adalah isu yang berkaitan dengan maruah bangsa itu. Dan tentulah amat sukar bagi rakyat dari negara manapun memberikan kerakyatan kepada bangsa lain selain daripada anak negeri itu sendiri.

 Isu jus soli telah mula diperkenalkan oleh British ketika mereka memperkenalkan Malayan Union. Walaupun banyak perkara lain dalam struktur Malayan Union itu ditentang oleh orang Melayu, namun isu kerakyatan Jus soli adalah merupakan perkara yang cukup penting. Isu jus soli terus menerus berlarutan sehinggalah ke saat penyediaan perlembagaan untuk persekutuan. Ekoran daripada perasaan tolak ansur yang maha hebat dan pakatan yang cukup erat dikalangan pemimpin kaum terdahulu, maka raja-raja Melayu telah bersetuju memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu dengan syarat kaum bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istemewa orang Melayu. Itu merupakan satu pengorbanan yang bukan kecil dipihak orang Melayu. Bukan kecil pengorbanannya….Apatah lagi apabila mendapat tahu bahawa tidak ada negara lain di Asia Tenggara yang begitu pemurah dalam soal pemberian kerakyatan ini seperti yang dilakukan oleh orang Melayu.

Anak muda kini telah menjadikan tarikh 13 Mei 1969 itu sebagai  satu tarikh  untuk Bangsa Malaysia bergerak ke hadapan. Mereka tahu apa yang telah terjadi. Mereka baca dan mereka mendengar cerita-cerita yang berkaitan dengan peristiwa 13 Mei itu. Namum mereka merasakan bahawa bangsa Malaysia perlu bergerak maju kehadapan. Jangan diungkit-ungkit lagi peritiwa lama itu. Mungkin itu merupakan satu kesilapan banyak pihak. Itu juga jangan diungkit-ungkit mengenai kesilapan itu. Orang tua-tua pernah berkata, ‘yang elok dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan’.

Tarikh 13 Mei 1969 perlu diingati sebagai satu mercu tanda dimana  bermulanya penanaman benih perpaduan dilakangan kaum-kaum di Malaysia. Hakikat ini begitu jelas sekali. Kita sebagai generasi kini dapat melihat sendiri benih yang ditanam dulu telah menghasilkan buah yang begitu ranum.  Kita telah melihat sendiri kewujudan Bangsa Malaysia dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

Abuhassanadam
13 Mei 1969

1 comment:

  1. Salam, peristewa 13 mei 1969, saya masih berada di sekolah rendah. Di kampung saya ada 3 keluarga cina dan 2 keluarga india, selebihnya melayu (lebih kurang 20 keluarga). Di kampung sebelah pun lebih kurang macam itu. Kami sering kenal antara satu sama lain. Petang-petang main badminton dengan kawan-kawan termasuk anak kokeh kedai runcit yang saya kenal dengan panggilan bongkok. Hujung minggu main terop keling dengan abang Raja, anak remaja jiran sebelah rumah. Abang kepada Raja bernama Maniam, kerja sebagai pemandu lori. Memang tak masuk akal bagi kami kaum cina, india dan melayu boleh bergaduh sampai berbunuh-bunuhan.

    Agaknya dibandar besar seperti KL dan Ipoh, mereka tidak semesra kami di kampung. Itulah punca pergaduhan....

    ReplyDelete