Thursday, May 2, 2013

RAKYAT TERNANTI-NANTI DEBAT NAJIB-ANWAR


RAKYAT TERNANTI-NANTI DEBAT NAJIB-ANWAR

Berdebat bukannya bertengkar. Bertegang urat tengkuk. Macam yang selalu berlaku di setengah kedai-kedai kopi atau di warong-warong. Kadang-kadang berkesudahan dengan ‘berlengan’.  Berdebat tidak begitu. Cara tersusun untuk menyampaikan hujah-hujah. Cara orang terpelajar ‘bertengkar’, menyampaikan buah fikiran, mematahkan hujah lawan. Pendengar yang memberikan keputusan. Itu pun tidak berkesudaham menang-kalah, macam perlawanan bola sepak. Debat biasanya berkesudahan dengan si pendengar membuat kesimpulan tentang segala hujah yang disampaikan oleh kedua-dua pihak.

Bukan ke cantik cara begitu daripada ‘bertengkar’ yang tidak berkesudahan. Rakyat kini amat keliru dengan keadaan yang ada sekarang terutama menjelangnya PRU 13. Pihak kerajaan berkempen menerusi akhbar dan TV. Berkempen dan tidak menjelaskan secara terpeinci isu-isu sebenar. Begitu juga pihak Pakatan Rakyat menyamipakn hujah mereka melalui ceramah-ceramah yang diadakan. Dalam waktu yang terhad. Tidak juga dapat menjelaskan sesuatu kepada rakyat terbanyak.

Minggu lepas aku balik kampung. Kebetulan ada ceramah kelompok yang dijalankan oleh parti UMNO-BN. Aku pergi. Rumah sepupu aku juga. Dia memang ‘orang kuat ‘ UMNO-BN. Penuh juga ruang tamu rumahnya. Lebih kurang 50 orang. Penceramah dari Kuala Lumpur. Orang besarlah tu. Pangkat besar sebab keretanya pun besar. Tidak ada kereta semacam itu di kampung aku tu.  Aku tahu. Rata-rata pakai kereta Proton. Itu pun kalau pakai kereta. Rata-rata pakai motorsikal saja.

“ Jikalau Pakatan Rakyat memerintah, dema ( mereka) nak mansuhkan PTPTN, nak turunkan harga minyak,  nak turunkan harga kereta……bankruplah Malaysia….” antara isi ceramahnya. Aku agak perkataan ‘ bankrup’ diucapkannya puluhan kali. Tetapi tidak dijelaskannya bagaimana boleh jadi bankrup. Mungkin si penceramah pun tidak dapat  menjelaskannya kerana kejahilannya tentang perkara itu. Ataupun mungkin sipenceramah memikirkan bahawa sekiranya diterangkan pun tak mungkinlah orang kampung aku tu faham apa yang dicakapkannya. Mungkin dia ingat begitu. Dia tak ‘sedar’ bahawa sudah ramai anak kampung aku yang memiliki ijazah Phd. Mungkin dia tak tahu!

Ceramah selesai pukul 11.00 malam. Tentulah ada makan. Bukan macam ceramah Pakatan Rakyat. Jangankan tambang dan duit poket, makan pun tidak dihidangkan. Mewah hidangannya. Dalam perjalanan pulang, ada yang bersungut,’ dia tak terangkan macam mana negara boleh bankrup. Minyak kita ada. Cukai  dikutip. Kroni dan rasuah kita kawal……..”

Atas alasan yang sebeginilah aku rasa Debat Najib-Anwar mesti diadakan. Penjelasan kepada rakyat terbanyak. Sepatutunya dah berlaku dah Pusingan Pertama. Dan sepatutnya kita menunggu Pusingan Kedua pula. Jikalau mengikut cara Presidential Debate di USA begitulah. Tetapi nampaknya di Malaysia pusingan pertama pun belum lagi.

Debat ini mesti diadakan. Itu baru betul yang Malaysia memang sebuah negara demokrasi. Negara modern, bukan negara Dunia Ketiga. Pemimpin kita sering melaungkan atau ‘terpekik-terlolong’ mengatakan yang negara kita adalah negara maju dan bukan tergolong dalam kumpulan Dunia Ketiga. Kita yang kata. Kita masuk bakul dan kemudian kita angkat sendiri.

Ada juga yang mempersoalkan, betul ke kita sudah tergolong dalam negara maju itu?

Dari segi memenuhi keperluan sebagai sebuah negara demokrasi, aku rasa bezanya negara kita dengan negara maju yang lain agak jauh bezanya. Sebagai contoh kita lihat saja bagaimana kita menghadapi PRU 13. Jauh bezanya. Jikalau di Parlimen British, aku dapat lihat David Cameron berdebat setiap hari dengan ketua pembangkang Britain Edward Milliband, apabila parlimen bersidang. Setiap masa. Maknanya tidak ada masa untuk Perdana Menteri berehat. Sentiasa berdebat. Begitu juga lah dengan keadaan di USA apabila diadakan Presidential Debate untuk memilih calon Presiden.

Tetapi di Malaysia, walaupun kita menganggap diri kita sudah tergolong dalam negara maju, ramai yang mengatakan bahawa debat bukan budaya kita. Ini memang aku tak faham. Debat tu perlu bagi Ketua parti Barisan Nasional dan ketua Parti Pakatan Rakyat mengemukakan manifesto parti masing-masing. Ke mana arah tuju negara yang hendak di bawa oleh mereka.

Memang betul kita sudah mendengar penjelasan DS Najib tentang manifesto BN melalui Radio dan TV. Tetapi rakyat tidak diberikan peluang untuk mendengar penjelasan daripada pihak Pakatan Rakyat untuk mengemukakan manifesto mereka melalui TV. Ini sudah bertentangan dengan prinsip demokrasi yang sepatutnya dilaksanakan oleh pemerintah negara maju. Rakyat mengatakan tidak adil. Dan mungkin ramai rakyat yang simpati dengan Pakatan Rakyat dan lantas memihak kepada mereka dan memberikan undi simpati. Mungkin……

Jalan penyelesaian yang sebaik-baiknya ialah DS Najib terpaksa bertemu dengan DS Anwar Ibrahim dalam satu majlis debat. Di situ nanti dapatlah kedua-duanya menjelaskan kepada rakyat arah tuju negara yang hendak dibawa oleh parti masing-masing. Dasar-dasar konkrit yang boleh membawa negara kita mencapai Wawasan 2020. DS Najib boleh mengemukakan hujah mengapa rancangan Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat, menurunkan harga minyak dan kereta dan berbagai-bagai lagi rancangan PR yang boleh membankrupkan negara. Rakyat boleh dengar dan buat keputusan. Barulah orang kampung aku juga faham betul-betul. Tidaklah pula mereka minta penjelasan daripada aku setelah mereka pulang dari mendengar ceramah sebagaimana yang aku ceritakan tadi.

Dan DS Anwar Ibrahim pula bolehlah menjelaskan bagaimana tindakan yang akan dijalankan oleh Pakatan Rakyat pasti tidak membankrupkan negara tetapi sebaliknya akan membahagiakan rakyat. Bolehlah beliau menjelaskan bahawa yang sebenarnya yang membankrupkan negara adalah disebabkan pemerintah yang bergelumang dengan kegiatan rasuah, mengamalkan kronisme, tidak mempedulikan kebajikan rakyat, berbelanja ke atas perkara yang  tidak sepatutnya.

Dan DS Nabib pula bolehlah menafikan atau pun menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Bukankah ‘cantik’ tu…….


abuhassanadam
2 Mei 2013

2 comments:

  1. Di Australia, hampir setiap malam saya menyaksikan Tony Abbot berdebat dengan Julia Gillard di Parlimen dan dipertontonkan di saluran TV secara terbuka. Beliau ,menjawab segala soalan dan tuduhan dengan berani. Walaupun kengkadang kesian jugak nengoknyer cuba mempertahankan benang yang basah. The point is - an open debate. Barulah rakyat dapat memahami penjelasan pentadbir! Tapi rasanyer DS Najib tak berani!

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan, Bercakap pasal debat ni tentunya semua orang tau .bukankah Malaysia ni lebih maju dari semuasegi berbanding negara jiran yaitu Indonesia ?,umpamanya disana, jangan kan untuk pilihan raya atau pemilihan Presiden,bahkan ketua majlis daerah pun. setiap ada pemilihan Ketua dahtentu diadakan perdebatan bukan nya berkelai adu kekuatan urat. Akhir akhir ini..semua maklum macammana perebutan kerusi gubernur Jakarta melalui perdebatan sehat yang hujung nya rakyat meletakkan satu pilihan atas kerelaan diri tiada yangmemaksakan kehendak siapa calon yang harus mereka pilih,dan nyata pemenang hati pilihan rakyat ialah tokoh sederhana dengan perwatakan sengkek, dalam perdebatan kemungkinan orang menilai sangat lemah untuk ber debat dengan calon yang di dukung partai besar belaka,tapi hujah dengan fakta,dan jalan penyelesaian yang berkait dengan 1001 permasalahan dijakarta dirungkai dengan masuk akal dan disampaikan dengan bahasa yang mudah difahami oleh rakyat kebanyakan,,maka apapun alasan debat bukan budaya kita itu agak terbelakang untuk zaman ini..natijah nya mudah daripada berhabis masa dan uang untuk berkempen ,juga rakyat menggunakan uang untuk hadir ditempat kempen, kanmudah ada ,TV dibuat siaran langsung biar rakyat meluangkan masa dirumah sambil medengar, dan sipendengar akan menilai dan akhir nya membuat pilihan.atas kesedaran masing masing. mohan maaf dan pembetulan atas kesilapan, salam.

    ReplyDelete