Wednesday, May 15, 2013

ORANG MUDA BERDARAH PAHLAWAN


ORANG MUDA BERDARAH PAHLAWAN

Memang perangai orang muda berpencak dan bersilat. Dan jikalau mereka tidak beradu senjata dan tidak berpencak dan bersilat bukanlah anak muda yang berdarah pahlawan namanya. Semenjak zaman berzaman peranan anak muda bukan lagi berada di bawah ketiak ibu apabila sudah sampai masanya untuk berjuang dan menegakkan keadilan. Ibarat anak kerbau yang baru tumbuh tanduk, maka akan ditanduknyalah apa saja yang berada dihadapannya. Gian dan ketagih.

Apabila dilaporkan bahawa majoriti ‘peserta’ yang hadir di pehimpunan ‘Black 505’ adalah orang muda, hatiku melonjak kegembiraan. Bukan bermakna aku menyokong sepenuhnya tindakan mereka itu dan tidak pula aku melarang  apa yang mereka lakukan. Yang menyebabkan aku gembira adalah kerana kepekaan dan kesedaran anak muda terhadap menjaga negara mereka yang tercinta.

Aku katakan ini merupakan satu perkembangan yang cukup sihat. Tumpuan anak muda selepas ini bukan lagi kepada kegiatan ‘ merempit’  ataupun melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah tetapi terarah kepada kegiatan yang berkaitan dengan pembinaan negara. Amat sihat bagi ku.Dan kegiatan anak muda yang sebegini adalah mirip dengan perjuangan anak muda dalam menuntut kemerdekaan tanah air dulu dimana kata geggaran mereka adalah ‘ pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara’.

Kegiatan anak muda Malaysia kini seolah-olah muncul dengan tiba-tiba. Mungkin mereka sudah pun berada di persada politik sedemikian dengan cara senyap-senyap tanpa diberikan peranan yang besar. Lantas mereka merasakan diri mereka ‘seperti melukut di tepi gantang’ sahaja. Adanya mereka tidak mencukupi dan ketiadaan mereka juga bukan merupakan kekurangan. Mungkin itu perasaan anak-anak muda sebelum ini. Lantas mereka berada di pinggiran, sebagai pemerhati. Mungkin mereka merasakan ‘ jikalau hidung tak mancung, mengapa pipi pula tersorong-sorong’. Mungkin.

Aku tidak dapat memberikan jawapan yang tepat mengapa kemunculan anak muda Bangsa Malaysia dalam arena politik ini secara mendadak. Yang aku dapat perhatikan bahawa PRU13 lah yang  telah mendorongkan anak-anak muda berminat sungguh menceburkan diri di arena politik. Tetapi soalnya apakah yang menyebabkan mereka terdorong ke arah itu. Mesti ada sebab-sebabnya

Aku hanya dapat memberikan andaian bahawa kemunculan Nurul Izzah dan Rafizi Ramli di arena politik telah medorong anak-anak muda begitu bersemangat terlibat dalam politik. Aku dapat lihat sendiri bagaimana anak-anak muda ( sebahagian besarnya  mahsiswa agaknya) bermati-matian mengembelingkan tenaga dalam PRU 13 di kawasan Lembah Pantai membantu Nurul Izzah. Begitu juga dengan  di kawasan parlimen  Pandan dimana Rafizi Ramli bertanding. Di situlah mulanya. Mungkin. Dan berita mengenai penglibatan orang muda ni terus merebak ke perhimpunan ‘Black 505’ di Stadium Kelana Jaya. Dan kini terus merebak dan meluas sampai ke Pulau Pinang dan Kuantan.

Dan ada aku terbaca tetang hasrat anak-anak muda untuk mengadakan perhimpunan sejuta orang membantah tentang penyelewengan yang dilakukan oleh SPR dalam mengendalikan PRU 13 yang lalu. Jikalau dilihat dari segi rentak dan momentumnya maka besar kemungkinannya perhimpunan sedemikian pasti akan berlaku kerana pelakunya nanti adalah anak muda yang berdarah pahlawan. Bukan anak muda namanya sekiranya mereka tidak berpencak dan bersilat. Dan orang tua-tua pernah berkata, “ kecil-kecil di timang ibu, bila besar di timang gelombang.

Apakah peranan orang tua pula apabila melihatkan anak-anak muda kita bersikap demikian. Apakah tindakan piha berwajib dalam usaha menangani rancangan anak-anak muda ini? Apakah penyelesaian yang ada pada pihak berwajib hanya menggunakan perkataan ‘ tangkap’  ‘ dakwa’ ‘ menyalahi undang-undang’ ‘ tidak bertanggungjawab’ ‘ perosak negara’ ‘menghasut’ dll. Apakah itu saja ‘senjata’ yang ada pada pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah sedemikian

Mengapakah anak-anak muda ini tidak dibawa berunding untuk menyelesaikan masalah yang rumit ini. Anak-anak muda ini terdiri dari golongan bijak pandai yang mungkin ilmu dan pendidikannya jauh lebih hebat dari  setengah pihak  berwajib. Pihak-pihak tertentu kena berfikir dengan rasional dan waras. Tentulah ada juga kebenarannya tentang isu yang mereka perjuangkan.

Pihak SPR seharusnya tampil berdialog. Bukan berdiam diri dan memberikan jawapan ‘ one –way traffic’ melalui radio dan TV. Mungkin SPR dipihak yang benar. Apa yang dilakukan oleh SPR itu mungkin diatas landasan yang betul. Namun disebabkan tidak ada penjelasan yang jelas maka rakyat masih berada dalam keraguan. SPR tidak menjawab persoalan yang dikemukakan. Rakyat sanggup berkumpul, bersusah payah mengharungi kesesakan lalu lintas semata-mata untuk menghadirkan diri dalam perhimpunan ‘Black 505’ kerana SPR belum menjawab keraguan yang ada di benak mereka.

Mengapa?

Bagi aku rakyat merasakan bahawa apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang ‘Black 505’ ada asasnya. Walaupun ada pihak yang mengatakan perjuangan ini sebagai perjuangan sia-sia, namun bagi pihak yang berjuang merasakan perjuangan akan memberi makna yang besar. Mereka merasakan SPR tidak menjalankan tugas dengan adil dalam PRU 13. Ini merupakan persepsi. Tidak ada siapa yang boleh menghalang rakyat menggunakan persepsi mereka.

Dalam hal ini, pihak kerajaan kena terlibat dan menjadi orang tengah antara SPR dan rakyat. Kerajaan diharap jangan menyebelahi mana-mana pihak. Pihak SPR kena tampil untuk menjawab segala kemusykilan yang timbul. Jawapan yang diberikan oleh SPR seharusnya bersesuaian dengan orang yang mendengarnya. Maksud aku SPR kena fahama bahawa anak-anak muda yang memerlukan jawapan itu  bukanlah calang-calang anak muda dari segi pencapaian akdemiknya. Mungkin lebih hebat dari kebanyakan pegawai-pegawai SPR!

Percayalah tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Dan semua pihak kena ingat bahawa cara masyarakat Malaysia menyelesaikan masalah ialah melalui rundingan. Kajilah dengan sedalam-dalamnya sejarah pembentukan negara kita. Semuanya melalui rundingan.

Dan berunding adalah medan pertempuran orang yang beradab.

Abuhassanadam
15 Mei 2013




1 comment:

  1. memang kata2 saudara itu 100% benar, dan kita patut selesaikan melalui perundingan dan di mahkamah. Mengheret rakyat ke jalanan adalah tidak sesuai untuk negera seperti Malaysia. MELALUI PERUNDINGAN KITA BOLEH UBAH! IA PERNAH DIBUKTIKAN! SALAM BERUBAH!

    ReplyDelete