Wednesday, May 8, 2013

TSUNAMI CINA?........


TSUNAMI CINA?..............

Ini yang dikatakan, ‘ rumah siap pahat berbunyi’.  Ini yang selalu dipesan oleh datuk nenek kita supaya perkara yang sedemikian tidak berlaku. Orang tua-tua juga berpesan, ‘ biar kita berkelahi dahulu dan jangan kita berkelahi kemudian’.  Inilah jadinya apabila ada pihak yang tidak puas hati dengan keputusan PRU 13. Rata-rata rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan keputusan PRU 13 rupanya. Bukan mereka tak faham tentang proses demokrasi. Jangan sangkakan mereka bodoh dan tidak menerima kekalahan.

Bukan. Bukan begitu. Mereka berasa amat tidak puas hati  kerana sikap SPR yang menjalankan PRU13. Mereka kata SPR tidak telus. Tak adil. Cuba menipu. Janganlah pula tanya aku bukti konkrit. Tanyalah mereka. Namun begitu orang tua-tua juga pernah berkata, “ jikalau tidak ada angin takkanlah pokok bergoyang’. Orang putih pula berkata.’ there is no smoke without fire. Jadi rakyat sudah ‘bising’. Mereka kata SPR menipu. Aku dengar ramai yang kata begitu.

Siapa boleh lawan SPR. SPR kuat. SPR berkuasa. Pengerusi SPR juga akan menggunakan peribahasa Melayu. ‘Anjing menyalak bukit…bukit tak akan runtuh’. Betul. Tapi ‘anjing’ yang akan menyalak bukan sebarang ‘anjing’. Jikalau pun bukit tak runtuh tetapi ‘salakan anjing’ ini akan mengganngu suasana yang aman. Akan mengganggu sesiapa sahaja yang sedang tidur. SPR jangan ‘persetankan’ ‘ salakan’ ini. Sebahagian besar rakyat nampaknya betul-betul tidak berpuas hati dengan keputusan PRU 13 yang lalu. Perlu ada satu tindakan yang konkrit dari pihak kerajaan yang boleh meyakinkan rakyat bahawa SPR telah menjalankan tugas dengan betul dan berkesan.

Rakyat sudah memberitahu kelemahan-kelemahan SPR sebelum ini. Namun SPR semacam tidak mempedulikan segala teguran-teguran yang dikemukakan. Rakyat sudah menjalankan tugas mereka sebagai ahli masyarakat yang bertamadun, tetapi semacam tidak begitu diendahkan oleh SPR. Ada pembaharuan yang dilakukan tetapi lebih merupakan sebagai mengabui mata rakyat sahaja. Sekiranya betul tindakan yang dijalankan oleh SPR itu takkanlah timbul suara lantang yang menyalahkan SPR. Mungkin SPR akan berkata bahawa suara-suara sumbang itu datangnya dari kumpulan yang kecewa dan yang kalah. Tetapi perlu diingat bahawa majoriti rakyat Malaysia mengatakan SPR tidak menjalankan tugas dengan telus walaupun ada betulnya dibahagian-bahagian tertentu. Rakyat dapat melihat dengan mata kepala bagaimana SPR cuba tidak berkata benar. Misalnya dakwat yang dicalit kepada jari telunjuk aku ini ( yang sedang memetik huruf-huruf  ni ) dicalit pada 5 Mei 2013 pukul 10.12 pagi. Pada pagi 6 Mei 2013 dakwat itu sudah tidak ada lagi di kuku aku. Dalam masa satu hari sudah hilang. Apakah alasan SPR mempertahankan kenyataanya itu?

Disamping isu hangat yang ditimbulkan oleh SPR, ada pula isu sensitif yang diperkatakan oleh setengah pihak yang mengatakan PRU 13 telah dilanda oleh ‘Tsunami Cina’. Bagi aku amat tidak tepat kenyataan sedemikian. Amat mengelirukan. Dan bagi aku amat tidak bertanggungjawab. Tidak membuat kajian terperinci yang berdasarkan kepada realiti yang sebenarnya. Masih mahu bermain politik perkauman yang semata-mata mahu mengabui keadaan sebenar.

Sebetulnya bukan “Tsunami Cina’ yang merobah PRU13 itu tetapi kebangkitan rakyat ekoran daripada serangan dan pengaruh sosial media. Golongan yang membuat tohmahan yang mengatakan kaun Cina yang menyebabkan PR ( DAP ) banyak memenangi kerusi parlimen seharusnya melihat melalui persepektif yang lebih jauh lagi.

Bagi aku PRU 13 telah melakarkan satu garisan yang membahagikan antara ‘ Reformist’ dan ‘ Conservative ’.  ‘Reformist’ adalah para pengundi yang terdedah kepada perkembangan semasa melalui ledakan  maklumat melalui internet. Ia merentasi pembahagian kaum. Tidak kira kaum Melayu, Cina atau India. Ini merupakan golongan yang dikategorikan sebagai golongan intelek. Yang anihnya dalam pentafsiran aku ini, ‘ Reformist’ ini ramai juga yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Conservative’ pula dikategorikan sebagai pengundi yang tidak terdedah dengan ledakan maklumat masa kini dan masih berpegang kepada peganagan lama termasuklah memilih parti politik dalam PRU 13 ini. Golongan ini masih berpegang kepada ‘traditional assumptions’. Yang anihnya golongan sebegini bukan sahaja tertumpu di kawasan jauh pendalaman tetapi juga berada di kawasan bandar, walaupun bilangan mereka tidak ramai.

Oleh itu yang mengundi Pakatan Rakyat adalah golongan ‘ Reformist’ dan yang masih memihak kepada BN-UMNO majoritinya adalah ‘Conservative’. PRU 13 bukan lagi berasaskan kepada perkauman. Rakyat Malaysia harus berbangga dengan hal ini kerana ia merupakan kejayaan kerajaan Malaysia membentuk satu bangsa Malaysia yang utuh. PRU 13 buktinya. Mereka tidak mengundi berasakan calon yang bertanding tetapi berasaskan parti yang bertanding. Tidak kira samada calon itu Melayu ke, Cina ke atau India ke. Bagi aku  merupakan perkembangan amat sihat……

Tuduhan setengah pihak yang mengatakan PR yang masih mempermainkan isu kaum bagi aku satu tuduhan yang agak tidak adil. Aku berkata demikian kerana PR lah yang cuba membawa budaya baru dalam politik Malaysia. Pemimpin-pemimpi PR sentiasa mendasarkan perjuangan mereka bukan berasaskan pada sesuatu kaum tetapi berdasarkan kepentingan semua kaum. Maknanya semua kaum berhak mendapatkan pembelaan dalam negara Malaysia tercinta ini.

Hakikat yang sedemikian tidak dapat difahami oleh setengah pihak yang berada dalam kelompok ‘Conservative’ disebabkan mereka tidak dapat menerima tempias ledakan maklumat yang diperkenalkan oleh para pemumpin PR. Mereka tidak menerima banyak maklumat mengenai politik baru yang cuba diperkenalkan oleh PR. Lantas mereka agak ketinggalan dalam mencipta pembaharuan yang diperkenalkan. Ataupun mungkin golongan ini masih tidak mahu menerima politik baru yang cuba diperkenalkan. Bak kata peribahasa Melayu,’ sepuluh jong masuk kampung, anjing masih bercawat ekor juga’.

PRU 13 sebenarnya telah mengubah landskap politik di Malaysia. Pakatan Rakyat dengan secara tidak sengaja telah memperkenalkan satu formula baru untuk perpaduan rakyat Malaysia. Golongan “Conservative’ merasa agak terasing dengan pemikiran baru yang dicetuskan oleh anak-anak muda Malaysia ini khususnya. Namun aku yakin lama kelamaan pemikiran baru ini akan dapat juga diterima oleh rakyat Malaysia yang tergolong dalam kategori  ‘Conservative ‘ itu.

Aku yakin. Masanya akan sampai juga………

Abuhassanadam
8 Mei 2013

1 comment:

  1. sepuluh jong masuk kampung, anjing masih bercawat ekor juga’.Apa etinya peribahasa ini?

    Kan baik kalau surat khabar Utusan boleh menulis arktical seperti En: Abuhassanadam, menbuat pembacha rasa hati tenang dan Bahasa Melayu nya menulis seperti 'flows like water' lembut dan seronok difahami.

    ReplyDelete