UMNO AKAN SENASIB DENGAN
DINOSAUR
Mahu
tak mahu UMNO kena berubah ikut zaman. Jikalau tidak nasib UMNO akan sama
dengan nasib Dinosaur. Lenyak di atas muka bumi ini. Dalam banyak hal UMNO
terpaksa buat perubahan. Bak kata peribahasa Melayu, ‘sekali air bah sekali
pasir berubah’. ‘Air bah’ telah pun berlaku dan telah meninggalkan kesan-kesan
yang memaksa ‘pasir’ berubah. Hukum alam
mengatakan bahawa pasir mesti berubah selepas air bah. Oleh itu tidak salahnya
ahli UMNO melihat keadaan sedemikian daripada mencari jalan menyalahkan ‘orang’
itu dan menyalahkan ‘ pihak’ ini. Buang masa. Bukan zamannya kita membebal dan
menyalahkan orang lain. Orang UMNO juga selalu’ menyalak’ ke sana ke mari
menyuruh orang lain ‘ think positive’. Diri sendiri bagaimana?
Aku
perhatikan ramai pemimpin UMNO yang masih berada pada tahun-tahun 60an. Katalah apa pun, aku masih berpegang pada
persepsi aku. Jikalau ada pun perubahan cara berfikir dan bertindak, ia hanya
berlaku dikalangan setengah pemimpin. Sedikit benar bilangannya. ‘handful’ kata
orang putih. Selainnya tu masih di takuk lama. Khayal. Masih memikirkan mereka
berada pada tahun-tahun 60an. ‘Menyanyikan lagu-lagu A.Ramlee, Jeffridin, Ahmad
Jais…..’ sedangkan orang lain sudah menyanyikan lagu-lagu modern ( walaupun
memang tidak sedap telinga aku mendengarnya).
Apa
tidaknya. Hadirkanlah diri di Persidangan Agung UMNO (PAU) yang diadakan pada
setiap tahun itu. Itulah rupanya semenjak dari dulu sehinggalah sekarang . Yang
berubah ialah tempat PAU itu diadakan dan hotel-hotel tempat penginapan dan
cara ahli-ahli UMNO berpakaian. Itu yang aku nampak perubahan yang besar.
Hebat. Maklumlah orang kaya-kaya. Dari segi penyampaian dan ‘input’ aku rasa
tak banyak beza dengan keadaan pada tahun-tahun 60an dan 70an, walaupun ada
usaha pembaharuan yang cuba hendak
diketengahkan oleh golongan muda, namun usaha yang sedemikian ‘ tak jalan’.
Itulah UMNO sehingga kini dan mungkin selama-lamanya.
PAU
pada pandangan aku adalah ‘pesta gelak ketawa’ yang akan ‘dihiburkan’ oleh ‘badut-badut’
yang didatangkan khas dari serata pelusuk tanah air. Jangan dipersalahkan pulak
‘ badut-badut’ berkenaan. Mereka terpaksa menjadi ‘badut’ ketika menyampaikan
hujah-hujah mereka. Sekiranya mereka tidak berlagak demikian, pasti para ‘
penonton’ akan meninggalkan dewan dan dewan akan kosong. Oleh itu si badut
terpaksa memenuhi kehendak ‘penonton’ juga. Begitulah keadaan PAU semenja dari
dulu hingga kini.
Khayalan
ahli UMNO adalah seperti khayalan Mat Jenin ketika berada di pohon kelapa.
Bukan semua ……Tetapi ramai yang khayal dan pasang angan-angan. Berbagai
angan-angan sehinggalah datangnya taufan yang amat kuat yang menyebabkan ramai
yang jatuh bergelimpangan. PRU 12 dan PRU 13. Gelombang PRU 12 sepatutnya sudah
boleh menyedarkan ramai pemimpin dan ahli UMNO apabila BN-UMNO hanya berjaya
mendapat 140 kerusi. Namun rupa-rupanya mereka masih khayal dan bermimpi dan
berangan-angan. Dan apabila sampai ke PRU 13, sekali lagi BN-UMNO kehilangan
tujuh kerusi lagi. Aku setuju dengan komen Tun Mahathir bahawa sepatutnya
UMNO-BN sedar tentang kesan PRU 12. tetapi rupanya mereka tidak begitu peka
akan kesan yang mendatang.
Dalam
PRU 13, dapat kita lihat seolah-olah DS Najib dan TS Muhyiddin sahaja yang ke
hulu dan ke hilir berkempen menyelamatkan BN-UMNO. Itu pengamatan aku.
Dulu-dulu, Perdana Menteri tidak banyak turun ke padang. Timbalannya yang
sentiasa berada bersama rakyat. Berbeza dengan keadaan DS Najib. Beliau
terpaksa bertungkus lumus ke hulu ke hilir, ke darat dan ke baruh, ke padang
dan ke sawah…. Jadi seolah-olah kemenangan BN-UMNO kali ini adalah kemenangan
dua orang pemimpin tertinggi ini. Peranan pemimpin lain itu tidak boleh juga
dipertikaikan. Ada. Tetapi tidak sehebat dua orang pemimpin ini.
Berbalik
kepada persoalan perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO. Aku tidak dapat
memberikan formulanya. Aku hanya ‘pandai’ mengkritik tetapi tidak dapat
memberikan penyelesaiannya. Itu aku mengakuinya. Dan bukan pula tugas aku nak
memikirkannya. Cuma aku dapat memberikan senario yang sedang dan akan dihadapi
oleh UMNO sekiranya mahu menjadikan parti itu relevan.
·
Cadangan Dato’Onn pada tahun 1950 supaya
UMNO membukakan keahliannya kepada kaum lain harus difikirkan semula. Cadangan
‘orang tua’ yang ‘very far-sighted’. Ahli UMNO boleh menolak mentah-mentah
cadangan itu pada tahun 1950an tetapi kena berfikir panjang-panjang akan
cadangan itu pada awal Kurun ke 21.
·
UMNO terpaksa mengambil kira perasaan anak
muda generasi DEB, terutamanya anak muda Melayu yang berpendidikan tinggi. Cara
berfikir mereka agak berlainan dengan cara berfikir generasi lama – generasi
sebelum DEB. Golongan ini tediri daripada para eksekutif yang boleh berdikari
dengan ilmu dan ijazah yang mereka perolehi. Mereka tidak memerlukan ‘tongkat’
atau penggantungan kepada sesiapa. Mereka berdikari. Lantas cara berfikir
mereka juga amat sukar dipengaruhi.
·
Ramai anak muda generasi Kurun ke 21 sudah
tidak berfikir berlandaskan kaum dan bangsa. Ini berlaku pada Melayu, Cina,
India dan kaum-kaum lain. Mereka sudah tidak berapa peduli sangat tentang kedudukan
kaum dan bangsa. Mereka adalah Bangsa Malaysia. Keadaan ini berlaku adalah
ekoran daripada sukatan pelajaran yang merentasi kurikulum yang didedahkan
kepada mereka di sekolah-sekolah.
Aku
perhatikan UMNO secara umumnya semacam tidak sedar tentang perkembangan yang
dinyatakan di atas. UMNO masih syok sendiri. UMNO masih ‘melayan’ orang Melayu.
Masih ‘menjaga’ hati orang Melayu. Begitu ‘enaknya’ melayan ‘mimpi-mimpi’ yang
endah sehinggakan ramai orang Melayu tidak sedar tentang perkembangan yang
berlaku disekeliling. Aku tak mahu sebut contoh yang berlaku pada PRU 13.
Memang
berlaku. Dan aku perhatikan keadaan itu dengan penuh minat. Aku nampak macam
cerita seekor katak yang berada dalam air yang dipanaskan. Disebabkan terlalu
selesa berada dalam air berkenaan, sikatak lupa bahawa air sedang dipanaskan.
Si katak baru sedar yang ia dalam bahaya setelah air telah mendidik.
Kesannya…..Lu
fikirlah sendiri…..
Abuhassanadam
9 Mei
2013
Suka baca artikel yang ini. UMNO...memang syok sendiri!
ReplyDelete