Monday, May 27, 2013

CUTI SEKOLAH - TERINGATKAN KAMPUNG HALAMAN

CUTI SEKOLAH – TERINGATKAN KAMPUNG HALAMAN

Aku teringat masa cuti sekolah ketika aku masih kanak-kanak. Ketika sekolah rendah. Antara ‘bercuti’ dengan ‘bersekolah’ tidak banyak beza bagi aku. Dan bagi kawan-kawan aku juga. Maklumlah keluarga kami miskin. Orang kampung. Jangankan nak pergi bercuti ke luar negara, nak ‘bercuti’ ke Kuala kangsar  ( hanya 10 km jauhnya dari kampung aku ) pun keluarga tak mampu. Yang mampu hanya ke pekan Padang Rengas. Boleh berjalan kaki saja. Tak payah naik bas.

Dan untuk apa pula ‘bercuti’ di pekan Padang Rengas. Bukan ada apa yang menariknya, melainkan untuk beli ‘ais kepal’ ( ice ball) yang berharga 5 sen atau ais kacang ( ABC) di kedai Majid yang terletak di bawah pokok Sena berhadapan dengan sekolah Cina. Itu pun kalau ada duit lebih. Walaupun ais kacang itu harganya 10 sen namun disebabkan tekanan kemiskinan, kebanyakan keluarga kami tidak mampu membelanjakan wang sebanyak itu untuk kanak-kanak membeli ais kacang. Mungkin wang 10 sen itu digunakan untuk keperluan lain.

Cuti memang seronok lah. Tak pergi sekolah. Boleh main sepanjang hari. ‘Jadual harian’ pada musim cuti agak sama saja. Bangun pagi. Kadang-kadang mandi dan kadang-kadang tidak terus pergi bermain guli atau main gasing. ‘ Breakfast’ macam mana? Kadang-kadang makan dan kadang-kadang tidak. Tidak pernah kelaparan kerana ‘rezeki’ berada di mana-mana ‘dikurniakan Allah’.

Yang aku maksudkan ‘rezeki’ itu ialah  hasil buah-buahan yang datang dari kebun Pandak Leman. Dalam kebun itu terdapat banyak pokok buah-buahan terutamanya buah mempelam ( orang sekarang panggil mangga). Dan yang anihnya, pokok mempelam di kebun Pandak Leman itu sentiasa menghasilkan buah. Sepanjang tahun. Jadi dari sinilah kami mendapat ‘rezeki’ untuk ‘ breakfast’ dan kadang-kadang ‘lunch’ pun dengan mempelam juga.

Sebenarnya yang kami ( aku dan kawan-kawan) makan itu adalah hasil ‘curi’. Kami tidak pernah minta dihalalkan oleh Pandak Leman, tuan punya kebun itu. Kami hanya mengandaikan bahawa oleh kerana Pandak Leman tidak tinggal di kampung itu dan hanya membiarkan saja buah-buahan itu bergelimpangan jatuh ke tanah, adalah lebih baik kami yang ‘tolong’ makan. Andaian kami begitulah….

Biasanya pada waktu cuti begini kami tak balik makan di rumah. Sepanjang hari akan berada ‘diluar’. Kami akan pulang pada waktu hampir petang nanti. Hampir waktu Maghrib. Jadual seterusnya ialah pergi mengaji  di rumah Pak Haji ( Pak Haji Sulaiman). Di kampung kami jikalau di sebut ‘Pak Haji’ sudah memadai. Semua orang tahu bahawa yang dimaksudkan ialah Pak Haji Sulaiman. Semua anak-anak ( lelaki ) di kampung itu belajar mengaji dengan Pak Haji Sulaiman. Kanak-kanak perempuan pulak pergi mengaji dengan Wah Beaah ( emak saudara aku- arwah)
Yang hairannya emak bapak kami tak hairan pun dimana kami berada. Dia tak tanya pun kami bermain di mana. Main apa. Di rumah siapa. Main dengan siapa. Makan apa. Sudah mandi ke belum. Tak tanya.

Kadang-kadang aku menyoal diri aku. Bagaimana ibu bapak pada zaman dulu-dulu boleh memelihara anak mereka sehingga menjadi manusia yang berguna sedangkan mereka tidak begitu ‘menjaga’ anak-anak mereka seperti ibu bapak zaman kini. Kadang-kadang aku tak dapat menjawab persoalan ini dengan tepat. Aku sendiri dapat merasakan bahawa jawapan yang aku berikan itu tidak betul dan tidak tepat.

Cuma yang aku boleh rasa dan aku boleh agak ialah dari segi keadaan dan suasana yang berbeza antara zaman dulu dan zaman sekarang. Fenomena ‘ tak mandi pagi’, ‘tak breakfast’ ‘ tak balik rumah untuk makan tengah hari’ adalah satu kebiasaan bagi anak-anak di kampung kami. Dan yang menghairankan aku juga ialah kami sentiasa dalam keadaan sihat. Tidak pernah demam. Sentiasa ‘fit’. Mungkin disebabkan makan bahan makanan yang ‘berkhasiat’ agaknya.

Namun begitu sesuatu yang unik dan ‘murni’ dalam masyarakat kampung kami ialah ‘ the sense of belonging’. Aku kenal semua orang di kampung aku. Samada orang tuanya, orang mudanya, kanak-kanaknya semua aku kenal. Sampai sekarang. Begitu juga sebaliknya. Semua orang kampung tahu aku anak siapa. Duduk di mana. Rumah aku berhampiran dengan rumah siapa.

Pendek kata kami adalah satu keluarga besar. Apa yang terjadi pada salah seorang anggota keluarga akan turut dirasai oleh semua anggota masyarakat di kampung kami. ‘Cubit pehak kiri peha kanan sakit’. Dan kalau timbul pergaduhan pula antara kami, permusuhan itu tidak akan kekal lama. ‘Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’.

Berlatarbelakang keadaan sebeginilah agaknya ibu bapa kami tidak bimbang akan keselamatan anak-anak mereka. Mereka tahu bahawa anak-anak mereka akan selamat kerana setiap orang akan memberikan perhatian. Kata orang putih, ‘ in ggod hands’ . Sekiranya berlaku sesuatu keadaan yang tidak diingini maka semua oarng kampung akan bertanggungjawab. Begitu jugalah sekiranya ada di antara kami yang melakukan perkara yang tidak sepatutnya kami lakukan, maka akan adalah orang yang akan memberikan teguran.

Tetapi mengapa pula mereka tidak memarahi kami apabila kami ‘ mencuri’ mempelam Pandak Leman. Mungkin mereka tidak tahu agaknya ‘ kegiatan’ yang kami lakukan. Mungkin….Aku pun tak pernah bagi tahu emak yang aku sama-sama dalam ‘operasi’ di kebun Pandak Leman itu!...

Begitulah akrabnya hubungan kami di kampung itu. Aku amat merindui keadaan sedemikian. Keadaan sebegitu tidak dapat aku nikmati lagi. Mungkin ramai lagi di luar sana yang juga seperti aku ……inginkan suasana dan keadaan demikian.

·      Mandi sungai Sauk
·      Bermain gasing di halaman rumah Pan Anjang Judah
·      ‘Mencuri’ mempelam Pandak Leman
·      Bermain ‘ Hantar-Menghantar’ pada malam bulan Ramadhan
·      Bermain kejar-kejaran pada malam khenduri
·      Bermain layang-layang ketika selepas menuai

Aku tetap merinduinya………….

Abuhassanadam
27 Mei 2013


No comments:

Post a Comment