Friday, May 17, 2013

KENYATAAN ZAHID MENGECEWAKAN


KENYATAAN ZAHID MENEGECEWAKAN

Walaupun aku tidak bersama-sama dengan anak muda dalam perhimpunan ‘Black 505’ namun aku berasa ‘jauh hati’ membaca saranan YB Dr. Zahid Hamidi, Menteri Keselamatan Dalam Negeri kita yang baru. Aku sedih apabila YB Zahid seolah-olah ‘menghalau’ siapa saja dari negara ini yang tidak bersetuju dengan dasar yang dijalankan di negara ini terutama yang berkaitan dengan PRU 13. Aku petik kata-kata YB Zahid,
“If these groups wish to use the list system of single transferable vote system used by republican countries, they should emigrate to those countries to practice their political beliefs.” Dari Free Malaysia Today.
Aku sedih sebab aku membayangkan peristiwa yang berlaku kini seperti ‘pergaduhan’ dalam sebuah rumah tangga. Sianak meminta sesuatu kepada si ayah. Siayah tidak dapat memenuhi permintaan si anak disebabkan oleh sesuatu sebab yang tidak dapat dipenuhi. Si anak masih mahukan jawapan mengapa permohonan dan permintaannya tidak dapat dipenuhi. Si ayah dengan marah-marah terus menghalau anaknya dari rumah sekiranya si anak tidak berpuas hati dengan si ayah.
Suasana sedemikianlah yang amat menyedihkan aku.
Sudah empat perhimpunan ‘Black 505’ dijalankan. Di Kelana Jaya Selangor, di Batu Kawan, Pulau Pinang, di Ipoh Perak dan di Johor Baharu, Johor. Kesemua perhimpunan itu mendapat sambutan hangat dari rakyat terbanyak. Puluhan ribu, malah ratusan ribu yang hadir. Dan menurut kata yang hadir di perhimpunan itu majoriti yang hadir adalah golongan anak muda. Ini juga merupakan satu perkembangan yang menarik dan perlu mendapat perhatian istemewa dari pihak kerajaan. Dulu, golongan anak muda semacam tidak peduli dengan perkembangan dalam negara mereka. Dan ini merupakan perkembangan baru yang sihat.
Bagi aku sudah semestinya ada yang tak kenanya pihak SPR dalam menjalankan PRU 13 baru-baru ini. Mesti ada. Aku mengatakan begitu berasaskan kepada beberapa perkara yang aku perhatikan.
·      Rakyat Malaysia yang tidak mengira kaum hadir di perhimpunan itu semata-mata untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap perjalanan PRU 13 yang dijalankan oleh SPR. Semua kaum. Melayu, Cina, India. Sanggup berjalan berbatu-batu untuk menuju ke tempat perhimpunan ‘Black 505’ dijalankan. Sanggup berhujan. Sanggup basah kuyup. Sanggup duduk di atas padang yang basah. Berhimpit-himpit. Tak selesa berbanding dengan keadaan jika berada di rumah sambil menonton TV.
·      Tentu ada asasnya mengapa rakyat terbanyak sanggup menghadirkan diri dalam Perhimpunan ‘Black 505’ berdasarkan kepada peserta yang hadir. Disamping anak muda yang berada dibarisan hadapan, aku namapk juga jenis kereta yang ditempatkan letak kereta dan disepanjang jalan menuju ke Stadium Kelana Jaya itu. Kebanyakannya kereta-kereta mewah. Memberikan gambaran kepada aku bahawa yang hadir bukannya calang-calang orang. Orang berada. Elit. Terpelajar. Yang biasa hidup senang lenang dan bukan menjalani kehidupan yang merempat. Tahu apa erti demokrasi dan berparlimen.
Keadaan sebeginilah yang menyebabkan aku berfikir sedalam-dalamnya. Dan kadang-kadang aku sedih juga. Persoalannya ialah mengapa SPR masih belum mengambil langkah untuk mengadakan secepat mungkin perjumpaan yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat. Mengapa? Sekiranya diadakan perjumpaan dan diadakan perbincangan secara terbuka dan ikhlas, maka aku pasti Perhimpunan ‘Black 505’ seterusnya dihentikan. Aku pasti rakyat akan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Dan sekiranya ada sesuatu yang timbul yang tidak memuaskan hati pihak Pakatan Rakyatm mak perlulah  diselesaikan dengan  cara yang boleh diterima semua. Persoaalannya mengapa dilengah-lengahkan….
Kedaan sebegini menyebabkan rakyat menaruh syak dan prasangka yang buruk terhadap SPR. Seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan oleh SPR. Dan keadaan sebegini jugalah yang menyebabkan anak-anak muda begitu marah dan mendorong mereka untuk ke jalan raya.
Pihak tertentu pula selalu mempersoalkan mengapa rakyat selalu mengambil tindakan mengadakan demonstrasi untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Mengenangkan hal ini telah menyebabkan fikiran aku yang ‘bodoh’ menjadi ‘bertambah bodoh’. Pada fikiran aku yang bodoh ini, rakyat turun ke jalanan disebabkan rundingan telah tidak diadakan. PR telah mencadangkan perbincangan dengan SPR. SPR senyap. Mungkin sudah dijawab pelawaan itu. Aku tak tahu. Sehingga kini belum nampak lagi usaha perbincangan itu akan berjaya. Dengan demikian anak muda yang berdarah muda ‘ke jalan raya’.

Melalui saluran sosial media aku dapat meliaht banyak bukti yang menunjukkan kecacatan perjalanan PRU 13 yang lalu yang dijalankan oleh SPR. Olehkerana terdapat banyka sangat bukti dan contoh yang diketengahkan maka sedikit sebanyak telah mempengaruhi juga pemikiran ‘ orang tua’ ini. Tentu jugalah ‘ termakan’ oleh aku penjelasan dan bukti yang ditunjukkan itu. Dan kononnya sudah ada pun laporan polis yang dibuat oleh pegawai SPR sendiri yang mendedahkan tentang penyelewengan yang berlaku disebuah tempat mengira undi.

Satu hal yang aku begitu yakin tentang ketidakadilan pihak SPR ialah tentang sikap SPR yang sengaja tidak mahu peduli tentang berleluasanya pihak BN-UMNO menggunakan TV milik kerajaan untuk berkempen. Ini amat jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan. BN-UMNO menggunakan sebebas-bebasnya TV milik kerajaan sedangkan parti lawan tidak berpeluang langusng menyalurkan pandangan mereka kepada rakyat. Ini jelas kesalahan yang dilakukan oleh SPR. Aku hairan mengapa SPR membiarkan keadaan itu berlaku.

Sebagai kesimpulannya aku rasa YB Dr. Zahid Hamidi harus faham tentang sungutan dan ketidakpuasan hati rakyat Malaysia kini. Sungutan mereka itu ada juga asasnya pada pandangan aku. Mereka tahu dan mereka faham tentang undi popular yang memihak pada Pakatan Rakyat. Mereka tahu Pakatan Rakyat memperolehi 5,623,984 undi sedangkan Barisan Nasional hanya memperolehi 5, 237,699 undi. Maknanya kelebihan yang diperolehi oleh PR ialah sebanyak 386, 285 undi. Banyak tu….Maknanya majoriti rakyat Malaysia memihak kepada Pakatan Rakyat secara keseluruhannya….

Oleh itu pihak kerajaan diharapkan jangan diperkecilkan tuntutan anak muda ini…..

Abuhassanadam
17 Mei 2013

1 comment:

  1. bn menang dengan penipuan dan salahguna kuasa, PR adalah pemenang di hati rakyat sebenarnya..

    ReplyDelete