Wednesday, May 22, 2013

APABILA 'GURU' KENCING BERDIRI


APABILA 'GURU' KENCING BERDIRI……..
Murid kencing berlari

Semacam sudah tak ‘relevant’ peribahasa di atas kini kerana tandas yang dibina adalah untuk tujuan kencing berdiri ( maaf berkata demikian). Oleh itu semua orang lelaki terpaksalah kencing berdiri termasuklah guru-guru. Peribahasa ini mungkin dicipta anggota masyarakat zaman dulu pada ketika orang Melayu kebanyakannya memakai kain sarung ( tanpa seluar dalam !) dan tandas pada ketika itu pula hanyalah  sungai yang mengalir ataupun ‘ditempat-tempat yang sesuai’ bersesuaian dengan keadaan ‘ kencing bercangkung’.

Perbincangan aku berkaitan dengan guru  kencing berdiri akan terhenti di sini.. Yang dimaksudkan dengan ‘guru’ itu pada pandangan aku bukanlah terhad kepada ‘cikgu’ semata-mata tetapi ditujukan kepada semua pemimpin sebab dalam masyarakat Melayu lama seseorang yang boleh jadi pemimpin atau mengetuai sesuatu kumpulan dipanggil guru. Dan sekiranya hendak diperjelaskan lagi, katagori ‘guru’ ini termasuklah pemimpin keluarga, pemimpin-pemimpin kampung, mukim, negeri, negara, imam-imam, guru-guru agama, guru silat, guru tari  dan lain-lain yang boleh dikatogorikan sebagai guru. Maknanya bukan setakat guru sekolah, sebagaimana yang dihamkan oleh ramai orang.

Sekiranya begitu tafsirannya mengenai ‘guru’, maka peribahasa di atas amat ‘relevant’. Apa tidaknya….Ramai yang mungkin setuju jikalau aku katakan bahawa disebabkan ramai ‘guru’ kini ‘kencing berdiri’ menyebabkan ‘ murid-murid’ kencing berlari. Bermula dari rumah sampailah ke peringakt masyarakat pada umumnya, banyak ‘guru’ yang mengamalkan ‘ cakap tak serupa bikin’ – ‘ Kencing berdiri’.Terlalu banyak contoh yang boleh aku ketengahkan. Si bapa melarang anaknya jangan merokok sedang sibapa ‘putus-berhubung’ rokok  sentiasa berada di bibir.

Dengan sebab itulah berlaku ‘ kekacauan’ yang bukan kepalang dalam masyarakat kita pada hari ini. Ibubapa ataupun pemimpin masyarakat tidak boleh menasihati anak-anak atau anak buah disebabkan ‘sipenasihat’ pun berperangai yang tidak boleh dicontohi. Lantas para ibu bapa atau pemimpin dalam masyarakat sentiasa ‘ mulut terkunci’. Tidak berani menasihati anak-anak. Maknanya jikalau ‘ guru sudah kencing berdiri, maka si anak akan kencing berlarilah…...

Aku simpati dengan nasib guru-guru yang mengajar mata pelajaran Moral di sekolah-sekolah. Berbagai nilai murni yang diajarkan kepada anak-anak di sekolah. Tetapi malangnya apabila pelajar-pelajar berkenaan berada di tengah-tengah masyarakat mereka akan diketemukan dengan keadaan masyarakat yang berperangai langsung bertentangan dengan apa yang mereka pelajari di sekolah.

Konsep’ Bersih, Cekap dan Amanah’ adalah nilai murni yang mula diketengah dan ditekankan pada awal tahun 1980an pada zaman pentadbiran Dr. Mahathir, walaupun konsep ini merupakan nilai murni yang sepatutnya diamalkan sememnjak zaman berzaman.

Persoaalannya berapa orangkah yang betul-betul menghayati dan mengamalkan konsep demikian. Biar aku berterus terang dalam soal sebegini. Berapa ramaikah pegawai-pegawai kerajaan yang ada di Malaysia yang betul-betul mengamalkan konsep ‘Bersih, cekap dan amanah ‘ ini. Berapa orang. Aku rasa tak ramai
·      Bersihkah dan cekapkah seseorang pegawai itu sekiranya tidak menjalankan tugasnya dengan betul dan berkesan. Mengambil masa yang begitu lama untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi oleh rakyat.
·      Amanahkah seseorang itu sekiranya berlaku kes-kes pecah amanah sepertimana yang sentasa kita dengar.

Semalam aku terbaca tentang kisah Pengerusi MACC, Dato’ Johan Jaafar yang akan menyarankan agar semua wakil rakyat  (Parlimen dan DUN ) mengisytiharkan harta mereka setiap tiga tahun. Bagus. Memang baik. Tetapi aku merasa ragu-ragu samada hal sedemikian boleh dilakukan. Tidak pula aku katakan tidak boleh dilakukan. Aku memang gembira benar sekiranya dapat dilakukan. 

Aku mengatakan demikian sebab maslaah rasuah dikalangan wakil rakyat amat berleluasa. Mereka pasti marah dan ‘melenting’. Memang sukar untuk menuduh dan membawa kes mereka ke mahkamah. Memang tak dapat berbuat demikian. Mereka pandai dan cerdik untuk menlarikan diri. Jangankan mendakwa seorang menteri atau timbalan menteri, hendak mendakwa seorang polis berpangkat rendah pun agak sukar untuk mencari bukti.

Tetapi soalnya hampir kesemua wakil rakyat di malaysia menerima rasuah. Majority rakyat pasti bersetuju dengan kenyataanku. Aku kata ‘hampir semua’. Bukanlah semua. Ada kekecualiannya. Aku mengatakan demikian berdasarkan cara hidup yang dialami oleh seseorang menteri dan wakil rakyat berkenaan. Sebagai contoh. Cuba kita kaji. Berapa gaji seorang menteri atau timbalan meneteri, atau seorang wakil rakyat ( parlimen dan DUN ). Selepas itu cuba kita teliti cara hidup yang dilalui oleh mereka dan keluarga mereka. Lagak isteri mereka ( ramai yang sombong), anak mereka  ( ramai yang bongkak).

·      rumah mewah yang mereka tinggal
·      Berapa buah kereta (mewah-mewah)  yang mereka miliki, yang dimiliki oleh isteri-isteri mereka, anak-anak mereka
·      Berapa kali dalam setahun mereka pergi makan angin ke luar negara
·      Berapa luas tanah  dan rumah sewayang mereka miliki
·      Saham-saham yang mereka miliki

Pendek kata jika diukur dari pendapatan dan gaji yang diterima oleh mereka, maka pastinya pendapatan ‘ halal’ yang mereka terima tidak mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan mereka itu. Lantas mereka mesti berusaha memperolehi pendapatan dengan cara  ‘ haram ‘ . Jelas. Tidak boleh dipertikaikan lagi. Tetapi soalnya mereka akan tahu ‘cara-cara’ untuk melepaskan diri dari dituduh menerima rasuah. Mereka akan menjelaskan dengan cara yang meyakinkan. Hanya orang bodoh yang yakin dengan penjelasan mereka itu.

Majority rakyat nampak dan tahu semua ini. Ibarat ‘ bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru’. Tetapi pihak-pihak tertentu cuba menutupinya. Dan yang lebih malang lagi masyarkat kita di Malaysia cepat percaya apa yang dikatakan oleh ‘pemimpin-pemimpin’ mereka. Ada anggota masyarakat kita yang amat ‘rela’ ditipu. Dan mereka mempertahankan pula ‘penipuan’ yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Mereka amat rela. Dan yang sedihnya keadaan ini berlaku pada orang Melayu di kampung-kampung. Bukanlah semua orang kampung begitu. Aku pun orang kampung. Tetapi aku tidak tergolong dalam kategri itu.

Inilah keadaan yang akan dihadapi oleh Dato Johan Jaafar. Kisah ‘ guru kencing berdiri’. Aku yakin Johan Jaafar lebih faham dengan masalah ini. Dia faham benar. Dan aku ‘ hampir gila’ memikirkan bagaimanalah agaknya beliau akan menyelesaikannya.

Aku harap Allah akan bersamanya melaksanakan tugas yang amat berat dan rumit ini. Aku doakan beliau berjaya.

Selamat menjalankan tugas Johan…..

Abuhassanadam
22 Mei 2013 

No comments:

Post a Comment