Thursday, May 16, 2013

CIKGU SAMAD


CIKGU SAMAD
( Bersempena dengan perayaan Hari Guru)

Memang susah aku nak melupakan Cikgu Samad terutama pada hari ulangtahun menyambut Hari Guru. ‘Cikgu Samad’ sememangnya sentiasa bertakhta di hati aku. Tak pernah lupa. Jikalau difikirkan, Cikgu Samad ini bukanlah hebat sangat orangnya. Cikgu biasa yang pernah mengajar di Malay Boys School Padang Rengas Perak, sekitar awal 1950an. Bukan guru besar pun.

Cikgu Samad mengajar aku ketika aku dalam darjah tiga. Tahun 1953. Aku masih terbayang wajah Cikgu Samad yang garang itu. Kami semua takut padanya. Pada ketika itu mana tahu lagi istilah hormat. Baru berumur sekitar lapan tahun. Masih budak mentah benar.

Dalam kelas Darjah Tiga, ada terdapat lebih kurang 18 orang murid. Kecil dan besar. Maksud aku pada ketika itu mana ada had umur. Ada yang berumur 8 tahun ( sepatutnya) dan ada juga yang ‘sudah boleh kahwin’. Zaman penjajahan. Mana ikut sistem sangat. Dan untuk menggalakkan murid pergi ke sekolah pada ketika itu merupakan satu hal yang sangat sukar. Kebanyakan murid ( Melayu yang tinggal di kampung-kampung) tidak mahu pergi ke sekolah. Apatah lagi kebanyakan ibu bapa tidak begitu mengambil berat tentang pendidikan anak-anak.

Bangunan sekolah tempat aku belajar, hanya cantik sedikit daripada kandang lembu. Berdinding separuh, beratap zinc dan berlantaikan tanah . Tidak ada torrazo sepertimana yang terdapat di sekolah persendirian zman kini. Amat panas pada waktu tengah hari dan amat bising sekiranya turun hujan. Memang tak boleh belajar waktu hujan turun dengan lebat. Cikgu Samad terpaksa ‘memekik’ ( bersuara dengan lantang ) sekiranya mengajar waktu hujan turun.

Banyak sebab mengapa aku sentiasa teringatkan Cikgu Samad. Aku tak boleh lupa apabila Cikgu Samad menghadiahkan aku buku tulis  kepada aku apabila aku dapat tempat kedua dalam peperiksaan akhir tahun. Yang dapat tempat pertama ialah Mat Ha ( Dato Khairuddin Arshad – pernah menjawat jawatan Pengarah Pendidikan Perak satu masa dahulu). Aku dah lupa siapa dapat Nombor tiga. Yang pentingnya Cikgu Samad memberikan kami hadiah. Buku tulis yang setiap satu harganya 10 sen ( pada ketika itu). Jadi nilai wang yang diberikan oleh Cikgu Samad pada aku hanya 40 sen. Namun kesan pemberian hadiah itu berkesan dan ‘melekat’ sehingga kini.

Bukan hadiah itu yang memberikan kesan yang amat mendalam pada aku sehingga kini. Ada hal lain. Lebih menarik. Hebat. Tak boleh lupa dan sentiasa ingat. Dan apabila mengingatinya boleh tersenyum sendirian dan boleh juga menitiskan air mata. Sayu  mengenangkan peristiwa berkenaan. Lucu apabila terbayangkan wajah Cikgu Samad dan wajah K.

K bukan nama sebenarnya. Walaupun yang akan aku coretkan berkaitan dengan K bukanlah perkara aib, tetapi aku bimbang juga kalau-kalau K akan merasakan yang aku cuba mengaibkan dirinya. Mungkin. Aku rasa dia tak kata begitu. Aku rasa. Oleh itu lebih baiklah aku berikan nama K saja. Biarlah dirahsiakan siapa dia K ini. Namun bagi kawan-kawan yang sekelas dengan aku pada ketiak itu pasti akan tahu dan kenal siapa sebenarnya K yang aku maksudkan itu. Ini cerita benar.

Hari itu Cikgu Samad mengajar pelajaran Ilmu Alam ( Geografi – istilah kini). Dia menulis satu ayat di papan hitam ,” PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELLILINGI OLEH AIR”. Lepas itu Cikgu Samad membaca ayat itu dan diikuti oleh kami semua. Beberapa kali. Lepas itu giliran setiap murid pula membaca ayat berkenaan. Seorang demi seorang. Itulah pengajaran pelajaran Ilmu Alam, zaman penjajahan!

Sewaktu hendak pulang, Cikgu Zamad akan memastika semua murid boleh membaca ‘,” PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELLILINGI OLEH AIR’ untuk membolehkan pelajar boleh pulang. Sekiranya tidak boleh membaca ayat itu maka Cikgu Samad akan memastikan setiap murid boleh membacanya. Walaupun sehingga waktu petang. Bagi murid yang pandai tentulah tidak ada masalah langsung untuk membaca ayat yang berkenaan. Namun bagi yang agak ‘ bengap’ tentulah menghadapi masalah besar.

K pasti mengahadapi masalah dalam hal ini. K bukanlah budak bodoh tetapi tidak berapa cerdik. Gagap pulak. Mungkin Tuhan memberikan kelebihan dari segi kepakaran berniaga kerana kononnya K telah  menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya di Kuala Lumpur. Menjual buah-buahan.

K pasti terkandas apabila mengahadapi ujian Cikgu Samad. Betul telahan aku. Rupa-rupanya Cikgu Samad masih bersama K sehingga pukul 3.30 petang. Secara kebetulan pada petang itu aku ke sekolah semula untuk latihan sukan. Aku lihat Cikgu Samad masih mengajar K untuk membaca ‘,” PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELLILINGI OLEH AIR”. Aku lihat Cikgu Samad sudah menanggalkan bajunya. ‘Bolin’ ( kata orang Perak)bererti tidak memakai baju. Panas. Maklumlah beratap zinc. Namun Cikgu Samad masih mengajar K membaca ayat berkenaan. Aku tak tahu pukul berapa baru selelsai ‘sesi’ berkenaan.

Episod ini yang aku katakan hebat……Guru-guru zaman dulu memang hebat…

·      Sanggup ‘mendenda’ dirinya sendiri dengan cara pulang lambat dari sekolah didorong oleh hasrat untuk mendidik anak-anak dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Bukan sahaja K yang merasakan dirinya ‘tersiksa’ tetapi Cikgu Samad juga ‘ tersisksa’. Aku kerapkali menyoal diri aku. “ Mengapa Cikgu Samad sanggup berbuat demikian?’
·      Cikgu Samad tidak pula mengaharapkan agar pengorbanannya itu akan dibalas dengan imbuhan kewangan. Tidak. Mungkin tidak terfikirpun olehnya. Dan jikalau pun dia memikirkan demikian, maka tidak ada peruntukan dari jabatan pelajaran untuk hal-hal sedemikian.

Banyak lagilah pengajaran-pengajaran yang boleh diperoleh dari episod antara Cikgu Samad dengan K ini.

Aku tinggalkan dulu kisah Cikgu Samad. Berakiatn dengan Hari Guru ini aku tertarik pula dengan kenyataan Dr. Zulkifli Ahmad, calon yang kalah dalam PRU 13 kawasan Kuala Selangor. Dalam suatu forum ( semalam) beliau telah mengatakan bahawa beliau redha, akur dengan kekalahannya dalam PRU13 itu. Yang beliau persoalkan ialah tentang ‘pengadilan’ yang menyebabkan beliau kalah.

Beliau mengambil iktibar tentang kisah seorang kanak-kanak yang dinobatkan sebagai pelajar cemerlang oleh gurunya, sedangkan si pelajar yang ‘cemerlang’ itu bukan kerana usahanya sendiri tetapi kerana ‘meniru’ dalam peperiksaan. Itulah gambaran sebenarnya yang berlaku di negara kita sekarang, katanya. Rakyat bukan tidak megakui apa-apa keputusan yang ditakdirkan tetapi rakyat begitu marah kerana kemenangan yang diperolehi oleh BN-UMNO kini adalah melalui pertandingan yang tidak sihat.

Dengan kata lain menipu! Itulah pandangan dan persepsi rakyat terbanyak. Mungkin betul……Mungkin tidak……..

Abuhassanadam
16 Mei 2013




No comments:

Post a Comment