SEMPENA HARI IBU
MACAM MANA MAK BOLEH NAMPAK AKU DALAM LAUTAN MANUSIA……
Ibuku
Hamidah binti Putih Ibrahim meninggal dunia sepuluh tahun yang lampau. Jadi
tentulah tidak ada sambutan untuk hari ibu bagi aku.Hanya anak-anak aku saja
yang menyambut hari ibu untuk ibu mereka. Isteri aku ler. Zamiah binti Yeob.
Aku menumpang dirayakan bersama.
Zaman
dulu mana ada hari ibu. Hari bapa pun tak ada. Sekarang sudah ada. Elok juga
ler. Tak salah merayakan kedua-dua hari itu. Mengapa sekarang ada dan mengapa
zaman dulu tidak ada. Tentulah banyak sebabnya. Nak aku tuliskan sebab-sebabnya
tiga hari tiga malam pun tak habis nak baca.Cuma yang aku nak tulis ialah
tentang bezanya sayangkan ibu zaman ini dengan sayangkan ibu zaman dulu
mengikut pemerhatian aku.
Seingat
aku ler, sepanjang hayatnya aku tidak pernah derhaka pada ibu. Tak
pernah….Seingat aku tak pernah. Bersuara kasar dengan mak pun tak pernah. Kali
terakhir dia menegur aku ialah ketika aku sedang memarahi anak aku. Dia marah
kerana dia kata dia tak pernah memarahi anak macam tu. Aku tak melawan. Aku tak
menjawab. Hanya air mata aku yang berlinang……sedang aku menulis coretan ini pun
air mata aku berlinang mengenang peristiwa itu. Begitulah sayang dan cintanya
aku pada emak aku. Kini dia sudah tiada………….
Sayang
aku pada emak dan bapak aku tidak ada tolak bandingnya. Mereka orang kampung
miskin yang tidak mempunyai wang untuk diberikan kepada aku. Kehdupan yang kami
jalanni amat sederhana. Amat jauh jika dibandingkan dengan kehidupan yang aku
alami sekarang. Emak dan bapak amat bahagia melihatkan anak cucunya hidup
senang. Namun kehidupan yang agak selesa yang aku alami kini adalah disebabkan
oleh ibu dan bapak juga yang sanggup berkorban, memberikan pendidikan yang
cukup sempurna kepada aku. Emak tidak bekerja dan tidak berpendapatan. Namun dia
dapat mendidik aku dengan sempurna. Sesempurnanya….
Banyak
peristiwa yang tidak boleh aku lupakan mengenai aku dan ibu dan bapak. Jikalau
aku keseorangan terutamanya apabila berada di luar negara kenangan bersama ibu
tercinta sentiasa ‘menyerang’ benak aku. Dan tentunya tidak dapat ditahan-tahan
air mata akan bercucuran. Lagi cepat air mata bercucuran apabila suasana
mengenang ibu itu berlaku ketika salji
sedang turun……..
Satu
peristiwa yang tak boleh aku lupa mengenai ibuku ialah suatu hari pada Hari
Raya Aidil Fitri. Ini cerita benar. Pada ketika itu umur aku adalah dalam
lingkungan lapan tahun. Darjah empat. Hari Raya pertama. Pada kebiasaanya pada
Hari Raya Pertama budak-budak di kampung aku akan pergi menziarahi rumah Pak
haji dulu. Pak Hai Sulaiman. Guru tempat kami mengaji. Dari rumah Pak Haji,
kami akan ke masjid, berarak bersama Pak Haji. Bernasyid. Aku lupa dah lagunya.
Liriknya dalam bahasa Arab.Lagu nasyid tu sedap ler bunyinya, sebutan dalam
bahasa Arab pun enak juga bunyinya. Tapi aku tak tahu maknanya. Sebutannya pun entah
betul entah tidak.
Selepas
menunaikan solat sunat Aidilfitri, aku diajak oleh kawan-kawan pergi ke Kuala
Kangsar. Kami panggil ‘ Kuale’ jer. ‘ Kangsar’nya tak payah sebut. Orang luar
negeri Perak saja yang menyebut Kuala Kangsar. ‘Rombongan’ kami tu terdiri dari
Muhammad ( ketua yang tidak kami lantik pun), Ngah, Ani, Bahari, Isa. Yang lain
aku tak ingat. Lapan orang semuanya.Pergi ke Kuale. Menonton wayang. Tentulah
filem Melayu. Kalau tak silap aku ‘Bujang Lapuk’.
Aku
tak bagi tahu pada emak yang aku pergi ke Kuale. Yang lain-lain pun begitu
juga. Jikalau bagi tahu, pasti tak dapat kebenaran punya. Emak kami mesti tak
benarkan. Pada zaman itu, untuk pergi ke Kuale semacam nak pergi ke Kuala
Lumpur, sedangkan jauhnya antara Padang Rengas dengan Kuale hanya 10 kilometer
saja. Ramai orang kampung aku yang tidak pernah menjejakkan kaki mereka di
Kuale. Mereka hanya mendenfar saja tentang pekan Kuale. Bandar Diraja ler. Tapi ada orang kampung aku
tak pernah tengok pun pekan Kuale tu…..
Agaknya
sepeninggalan kami pergi ke Kuale, emak-emak kami mulalah betanya antara satu
sama lain tentang anak masing-masing. Mungkinlah agaknya ada seorang berdua
kawan kami yang ternampak tentang romobongan kami ke Kuale tu. Yang hairanya
macam mana mereka boleh tahu sedangkan kami sudah membuat ‘perjanjian sulit’
yang pemergian kami itu tidak akan dibocorkan. Sampai sekarang aku tidak tahu
siapa yang membocorkan…..
Keseronokan
menonton filem ‘Bujang Lapuk’ jangan dikirakan. Maklumlah hanya setahun sekali
dapat menonton filem. Kadang-kadang dua tahun sekali. Itupun kadang-kadang
tengok wayang di Ladang Getah, Gapis Estet. Cerita Tamil. Itupun amat
menyeronokkan. Namun sekali sekala teringat juga dan terpandng wajah emak yang
pasti ‘menyinga’ jika rahsia ini bocor. Aku rasa kawan-kawan lain pun begitu
juga. Cemas…
Dalam
perjalanan pulang dari Panggung Rex ( kini tidak ada lagi ) apabila sampai
sahaja dekat dengan jam besar ditengah-tengah bandar Kuala Kangsar itu, dari
jauh aku nampak seorang wanita separuh umur ( yang biasa aku tengok) berjalan
bertentangan arah dengan aku. Ketika itu ramai jugalah orang di bandar diraja
itu. Maklumlah Hari Raya lah katakan. Aku perhatikan betul-betul. ‘ Takkan lah
emak….bila emak pernah datang ke Kuale keseorangan…melainkan dengan bapak.
Itupun mungkin setahun sekali…..tak munkin……tak mungkin lah…” kata hati kecil
aku.
Semakin
aku hampiri…….SAH…. emak aku. Cuma yang aku tak nampak ialah ranting
ditanganya. Biasanya, jikalau dia menuruti aku ketika sedang bermain gasing ke
atau main guli ke, mesti ada ranting ditanganya. Sekurang-kurangnya aku
‘dihadiahkan’ seliang juga. Tapi kali ini tidak. Emak hanya tersenyum dan
menagajak aku balik. Bila sampai di rumah pun emak tak marah.
Peristiwa
ini banyak menimbulkan persoalan pada aku yang menyebabkan aku berfikir yang
tentunya diiringi dengan cucuran air mata.
·
Macam mana emak boleh terserempak dengan aku
dalam kalangan manusia yang agak ramai juga di pekan Kuala Kanagsar tu. Ajaib
juga bagi ku. Itulah ibu namanya.
·
Walaupun dia tidak pernah keseorangan ke
Kuala Kangsar, namun disebabkan kerisauannya terhadap anak telah menyebabkan
beliau memberanikan diri, keseorangan pula ‘mencari anak yang hilang’. Itulah
kasih ibu.
Kini
ibu ku telah tiada. Bagi anak-anak yang masih ada ibu dan ayah, sayangilah
mereka. Tidak ada nilai gantinya seorang ibu atau seorang ayah……
Sayangilah
mereka….
Abuhassanadam
12 Mei
2013
No comments:
Post a Comment